Sunday, October 4, 2015

Chaiyya Chaiyyaa Lah Sangat!

Hampir setengah jam sudah aku duduk dalam koc keretapi berwarna biru itu. Berpeluh aku dalam hawa panas. Perasaan teruja mulanya melihat koc ini yang hampir sama kulihat dalam filem Chennai Express kini bertukar rimas.
Tak sangka juga sekarang aku dalam perjalanan menuju Mathura. Setelah awal pagi tadi lama aku 'terpuruk' di satu sudut lorong di Paharganj. Hilang semangat setelah di'cekik' oleh seorang pemandu auto. Hanya setelah kembali mendapat capaian wifi ketika bersarapan tadi, komunikasi dengan rakan FB menyemarakkan kembali niat untuk melihat perayaan Holi di tempat asalnya.
Encik Kumar, pegawai pelancongan dari Jabatan Pelancongan India yang peramah. Pejabatnya di tingkat bawah Stesen Keretapi New Delhi ini. Banyak nasihat berguna yang diberikan termasuk cara membeli tiket keretapi bagi pelancong asing dan cara membawa diri di bandar seserabut New Delhi. Menyedarkan aku warga India ini tidaklah semuanya jenis suka mengambil kesempatan.
Stesen Keretapi New Delhi ini setinggi 3 tingkat. Bersebelahan dengan bandar Paharganj yang terkenal di kalangan backpacker. Ada jejantas yang menghubungkan dari sini ke Stesen Monorel Delhi di seberang sana yang merentangi diatas berbelas landasan yang menempatkan berpuluh-puluh koc menuju serata India. Aku segera ke tingkat 1 ke tempat tempahan tiket untuk pelancong asing. Bila diberitahu destinasi ku ke Mathura pegawai bertugas menyuruh aku membeli sahaja tiket di kaunter biasa kerana jaraknya tidak jauh dengan Delhi. Lebih mudah katanya.
Keretapi mula bergerak. Stesen hentian pertama Hazrat Nidzamuddin. Semakin jauh perjalanan semakin ramai penumpang menaiki keretapi ini. Ada yang terlambat naik lalu ditolong disambut tangannya oleh penumpang lain untuk menaiki keretapi. Di depan mata aku lihat adegan seperti babak akhir filem Dilwale Dulhania Le Jhayenge itu bukan sekadar lakonan semata-mata.
Ruang dalam koc semakin sempit. Tempat duduk semuanya penuh. Ada penumpang yang sudah naik hingga ke tempat simpanan barang dan melelapkan mata seperti di katil rumah sendiri. Seorang sami pula bersahaja menikmati roti sambil duduk diatas tempat simpanan barang di hadapanku. Tanpa dia sedar kuah rotinya tertumpah ke tempat duduk di bawah hingga dimarahi seorang penumpang lain. Aku hanya mampu tersenyum memerhatikan dalam ruang yang semakin kedap dan berbau itu.
Tiba-tiba dalam bahasa hindi seorang lelaki menyuruh aku mengangkat beg aku di ruangan simpanan barang kerana dia mahu duduk di situ. Aku yang masih mamai dengan suasana baru ini terus mengambil beg dan bila menyedari seorang perempuan dan anaknya berdiri berhampiran aku menyuruh mereka mengambil tempatku. Rasanya lebih baik aku berdiri berhampiran pintu dengan pengudaraan yang lebih baik. Tambahan agakan aku stesen Mathura sudah tidak jauh.
Tiba-tiba keretapi berhenti. Agak lama sehingga ada penumpang yang turun berjalan ke atas landasan kerana kebosanan. Di seberang landasan ada sebuah lagi keretapi juga berhenti. Di tepi pintu keretapi aku lihat dua lelaki Eropah comot berlumuran warna duduk bersandar. Petanda perayaan holi sebenarnya sudah bermula. Dan seperti yang selalu ku baca di internet pelancong berkulit putih yang selalu menjadi 'mangsa' utama lumuran warna holi oleh warga tempatan.
Kakiku dah mula lenguh berdiri. Namun belum ada tanda keretapi ini akan bergerak kembali. Aku sempat perhatikan gerabak keretapi di depanku yang ada penyalur elektrik diatasnya yang disambungkan dengan kabel merentangi sepanjang landasan keretapi. Aku tak pasti sudah berapa lama sistem keretapi India menggunakan kuasa elektrik. Jadi pemandangan penumpang duduk di atas keretapi seperti gambar di Bangladesh yang ku baca di berita tidak dapat ku lihat di India ini kerana sudah ada bahaya renjatan elektrik di atasnya. Apalagi untuk melihat mereka menari-nari seperti Shah Rukh Khan dalam filemnya. Chaiya chaiya lah sangat.
Siren berbunyi. Keretapi akan bergerak kembali. Penumpang-penumpang yang turun ke landasan kembali menaiki keretapi memenuhkan ruang dalam gerabak. Sesak sampai aku susah nak menoleh. Menyesal rasanya tak menaiki kelas koc yang lebih selesa.
Di sebuah tempat papan tanda tertulis Mathura. Sudah sampai destinasi dituju. Sampai di satu jambatan berhampiran pekan Mathura keretapi berhenti. Papan tanda bertulis Mathura Junction. Sama seperti di stesen-stesen lain penumpang naik dan turun bagaikan sesuka hati mereka. Aku beranjak menghampiri pintu kerana akan turun di stesen Mathura sebentar lagi.
Tak jauh kemudian tiba di stesen Mathura Cant aku turun. Mengambil nafas sebentar sebelum melayan pula suasana serabut di stesen itu. Ramai orang di stesen itu yang berlumuran warna. Aku seboleh mungkin ingin mengelak dilumur sama kerana belum bersedia. Lembu kambing peliharaan juga bersahaja baring di stesen itu seolah sama menunggu ketibaan keretapi.
Menyeberang jambatan menuju pintu masuk stesen ada banyak auto dan beca menunggu pelanggan. Aku lihat stesen itu sebenarnya agak jauh dari penempatan berhampiran. Aku yang kebingungan ditegur oleh seorang penunggang auto. Aku perhatikan dia saling tak tumpah watak penjahat yang selalu ku lihat dalam filem hindi. Mukanya berwarna warni dikelilingi rakan-rakannya yang lain yang bergelak sakan meraikan pesta holi hari itu. Tapi yang aku nampak ketika itu hanyalah pintu jenayah samun yang akan berlaku kepadaku jika menggunakan khidmatnya.
Aku berkeras menolak dan kembali ke bangunan stesen. Aku memilih untuk berjalan menyusur kembali landasan berpatah balik ke Mathura Junction. Kerana tadi aku terlihat bangunan hotel dan kedai di situ. Ada sedikit rasa selamat di sana. Tambah lagi hari semakin beransur gelap dan dalam fikiranku hanya ingin mencari tempat untuk menginap malam itu. Hampir dua kilometer aku menapak jalan berbatuan itu. Dalam fikiran aku kalaulah aku selamat kembali ke Malaysia nanti memang banyak cerita yang boleh kuungkapkan.
Sampai di jambatan Mathura Junction aku turun ke jalan besar. Selang dua tiga bangunan aku lihat Hotel Brijwasi Royal. Aku segera menempah bilik disitu. Harganya 500 rupee semalam. Kad kredit terus dilerek. Istilah backpacker berjimat cermat bagai terhapus terus. Aku mahu berehat selesa dari hari pertama yang maha serabut ini.
Di bilik aku mengemaskan diri. Bilik hotel yang agak mewah sama seperti hotel lain tapi berhabuk. Di dalam bilik air bila aku berkumur air di sini agak payau rasanya. Selesai mandi aku mencari keselesaan. Membuka tv menukar dari satu ke satu saluran. Saluran berita memaparkan liputan tentang sambutan holi juga kempen pilihanraya presiden India tahun 2014 yang akan berlangsung tak lama lagi. Wajah Modi calon presiden yang posternya ku lihat di Delhi pagi tadi ditemuramah wartawan di kaca tv.
Air teh 'chai' yang aku pesan di lobi tadi sudah tiba di bilik. Aku hanya berselera untuk makan biskut bekalan aku dari Malaysia. Perlu kembali bertenaga sebab aku mahu ke kawasan Mathura Gate malam nanti untuk melihat suasana sambutan holi di waktu malam. Maklumat yang aku dapatkan petang tadi dari pekerja lobi. Rasanya keberanian kembara berseorangan semakin bercambah dalam diriku di pedalaman India ini.
Berehat seorangan dalam bilik mengambil masa sendiri aku kembali segar rasanya. Kewarasan pun kembali normal. Semangat pun pulih kembali. Tambahan aku sempat lena sebentar selepas solat jamak takhir tadi. Aku mula berjalan keliling bilik. Ada makanan ringan di meja. Keropok berlabel bulatan hijau yang setahu aku menandakan makanan vegetarian. Tapi bila aku melihat suratkhabar bahasa Inggeris bersebelahan keropok itu hati aku kembali bimbang bila membaca tajuknya. 'Seorang pelancong Jepun ditemui mati dibunuh di Varanasi'. Oh tidak!!!!
@li ipoh Li Firdaus


petikan dari fb Li Firdaus


No comments:

Post a Comment

Kejatuhan Maharaja Byzantine Constantipole di Tangan Al-Fateh

Kejatuhan kubu Constantinople dari kacamata seorang pengembara - Bahagian 2.  Sultan Muhammad Al Fateh walaupun berumor 21 tahun...