Wednesday, April 29, 2020

Tasik Abraham, Canada

Alberta & Abraham..winter wonderland

Inilah Tasik Abraham yang terletak di Alberta, Canada. Kalau nak ke sini boleh turun di Calgary Airport dan memandu dalam 3-3.5 jam. Alberta ni merupakan impian para pengembara yang cintakan alam semulajadi kerana terdapat banyak national park dan lebih daripada 500 tasik di sini.
Berbalik kepada Tasik Abraham ni.Fenomena yang indah di bawah tasik tu terbentuk dari tumbuh-tumbuhan yang cuba bernafas di bawah tasik. Fenomena ini berlaku apabila tanaman yang reput di dasar tasik mengeluarkan gas metana, yang menghasilkan gelembung yang terperangkap di dalam ais ketika tasik mula membeku & hasilnya nampak seperti gelembung udara seperti dalam gambar.
Jangan asyik menangkap gambar sahaja. Korang kena sentiasa berhati-hati.Pastikan korang berada di atas kawasan ais yang selamat (permukaan ais yang betul betul beku).

Selamat mengembara.
follow fb: Detektif Kembara

Tuesday, April 28, 2020

Terowong Cinta


Benarkah wujud terowong Percintaan?Ini Tunnel of Love di Klevan,Ukraine

Tunnel ni sebenarnya adalah sebahagian daripada landasan keretapi yang terletak berhampiran Klevan, Ukraine, yang menghubungkannya dengan bandar Orzhiv. 
Landasan kereta api ini dikelilingi oleh lengkungan daun hijau sepanjang tiga hingga lima kilometer. Ia terkenal sebagai tempat kegemaran pasangan berjalan-jalan dan bersiar-siar.
Kalau nak ke sini boleh ambil tren daripada Kiev ke Pihue. Lepas tu naik bas ke Klevan. Kalau nak bergambar lama dan dapatkan spot yang cantik korang kena berjalan dlm 15-20 minit. Pastikan korang dah spray insect repellent kat baju sebab banyak nyamuk :)

follow fb: Detektif Kembara

Rumah Bot di Kashmir


PENGALAMAN BERPUASA DI KASHMIR (RAMADHAN 2018). Tinggal 1 malam di local Kashmiri's houseboat di Dal Lake Srinagar. Aku dilayan bagai family sendiri oleh owner houseboat, Uncle Aziz. Berpeluang utk sama-sama berbuka puasa dan sahur dgn keluarga ni. Anak2 uncle dan cucu2 dia pun ada. Uncle even dtg kejutkan kami bgn sahur pada pukul 3.30 pagi (rumah dia berada terkebelakang sikit daripada houseboat kami). Local dish dimasak sendiri oleh wife Uncle Aziz dan dihidangkan kpd kami.

Aku tgk Uncle Aziz ni hanya berbuka dgn tamar, buah-buahan lain dan jus. Kemudian, dia terus berjalan kaki ke masjid utk solat maghrib, isyak dan sambung terawih 20 rakaat. Dlm pukul 11.30 mlm baru sampai rumah dan start makan yg berat2. Manakala aku pula melantak nasi lauk ayam segala bagai yg dihidangkan kpd aku masa berbuka tu. Dan balik solat sendiri2 dlm bilik sbb seharian penat buat aktiviti 😅. 

Org2 Kashmir ni happy gila bila tau kami pun puasa jugak sama-sama depa. Setiap kali jumpa ja mana2 Kashmiri dan ckp yg kami ni pun sedang berpuasa, they seems surprised and tunjuk muka happy. Jarang kot Muslim dari negara lain datang Kashmir time Ramadhan. So depa tak expose sgt pasal ni. 

Bila tanya Uncle Aziz mcmana business houseboat dan lain-lain pasal life in Kashmir dia simply replied "Allah is great. We've been suffering for many years, Indian govt blocked our business, killing lots of Moslem in Kashmir, make us poor, but Allah will always have mercy on us and give us rizq. We do not worry about that. We believe in Allah. We just want our freedom, Kashmir to be an independent country."

Oh semasa aku kat sana, berlaku riot di Jamia Masjid Srinagar. Beberapa jemaah yg baru selesai solat terawih, keluar masjid terus shout anti-India slogans kat tentera India yg dok berjaga dekat dgn masjid tu. Ada yg membaling batu ke arah tentera2 India tu. Sbg membalas, pihak tentera India guna pellet guns, tear gas and pepper gas. At least 50 civilians were injured.

It's an ordinary sight in Kashmir where I can see the Indian army every 1 or 2 km along the way, all carrying their weapons, ready anytime to get into action. The soldiers are moving everywhere in Kashmir as if it is war. The sights of army men holding arms at every corner of the valley are common and almost a normal routine there.

Satu perasaan yg tak terungkap apabila dapat merasai sendiri pengalaman berpuasa di negara orang, merasai sendiri budaya penduduk tempatan dan dilayan dgn sgt baik walaupun depa serba kekurangan. Apa yg aku observe, depa kat sana hidup susah dan ditindas tapi still kuat pegangan agama dan practice seperti apa yg Islam ajar.
Pengalaman ni mmg tak dpt dibeli kat mana-mana. Hard to describe in words. Emotional sikit trip Ramadhan 2018 di Kashmir. Allah tunjuk betapa indahnya Islam. Kebanyakannya pengalaman manis dan menusuk jiwa semasa di sana. Byk lg yg aku tak share kat sini. 

Pengalaman tak best plak, kerap kena ganggu nak suruh aku naik kuda depa la, ambik pakej tour la, pujuk suruh beli itu ini, mcm2 la sampai kita nak relax2 menikmati pemandangan indah pun tak senang, asyik kena follow ja pi mana pun. Pastu banyak kena pau sampai aku sendiri naik risau cukup ke duit yg tinggal ni nak balik ke Malaysia 😅. 

Dal Lake, Srinagar, Kashmir
Mei 2018

#mencaripersamaanraikanperbezaan

P/s: Pernah merasa puasa selama 6 jam ja di Minneasota, US pada tahun 2000. Masa tu winter dan malam sgt panjang. Start berpuasa pukul 9 pagi, pukul 3 petang dah iftar. Masa di Kashmir tu tempoh berpuasa lebih kurang dari 4.30 a.m. - 7.30 p.m.
IG: @shnorsukhairin
https://www.instagram.com/shnorsukhairin

Road Less Travelled Turkey.


TURKI..SEBAB ERTUGRUL..AKU DATANG LAGI!!!

Merhaba,

Negara ini menjadi penghubung antara benua eropah dan asia melalui kota yang cukup misteri iaitu Istanbul (Constantinople). Turki dan kota Istanbul tersenarai antara 10 negara dan bandar yang paling banyak dilawati oleh pelancong.Jadi Turki dan industri pelancongan memang tidak dapat dipisahkan.

Kini, siri Ertugrul dan Turki juga sudah tidak dapat dipisahkan. Lebih ramai yang nak ke Turki selepas menonton siri ini. Sebelum ini, ramai yang tidak pernah mendengar nama Ertugrul. Namun setelah drama bersiri yang bersandarkan watak didalam sejarah Uthmaniah ini diwujudkan, nama Ertugrul  sudah menjadi bualan mulut orang ramai. Malah drama bersiri yang berjudul “Dirilis: Ertugrul” ini menjadi fenomena bukan sahaja di Turki, tetapi diseluruh pelusuk dunia seperti di Malaysia, Indonesia, UK, negara-negara arab dan juga latin Amerika. Kalau nak faham mengenai sejarah sebelum Zaman Khalifah Uthmaniah kena tonton siri ini sebab kalau nak cerita tak sempat nak cerita pasal tempat menarik kat Turki dalam posting kali ini.

Turki ni best sebab hotel dan kos makan tak semahal di negara negara eropah yang lain.Tentu ramai antara kita yang telah ke Turki. Bandar yang menjadi persinggahan? Tentulah Istanbul, Bursa, Cappadocia & Pamukkale. Kenapa ramai yang memilih hanya untuk ke tempat tempat tersebut sahaja? Selain kekangan masa tentulah disebabkan tarikan di bandar bandar tersebut.
Istanbul dengan Masjid Sultanahmet, Hagia Sophia,Topkapi & Grand Bazaar. Bursa pula dengan gunung Uludag & pasarnya. Cappadocia tentulah belon udara panas & Pamukkale kerana cotton castlenya.

Namun terdapat banyak lagi tempat menarik dan penuh dengan sejarah di Turki ini seperti Ankara, Antalya, Adana, Adiyaman, Bolu, Izmir dan trabzon. Turki ni sebenarnya kalau buat road trip macam memandu di New Zealand. Negara dia besar tapi jarak tempat menarik tu ada yang agak jauh daripada satu bandar ke bandar yang lain.
Kali ni kami kongsikan the "road less traveled" di Turki dan apa yang anda boleh lihat di sana. Sebab Istanbul, Bursa, Cappadocia dan Pamukkale (Denizli) tu dah jadi tempat biasa kami tak cover dalam posting ni. Terpanggil untuk kongsi perkara yang lain sedikit sebab kadang kadang terlalu banyak pengaruh media atau gambar-gambar yang cantik hanya meliputi beberapa tempat dan kesannya sesetengah kawasan yang sebenarnya lebih menarik ni tidak dilawati jadi sangat rugi sebagai pengembara. Ankara dan Izmir mungkin tidaklah terlalu asing tapi kami masukkan juga sebab bukan common route selain 4 bandar di atas. 
Ini antara tempat tempat yang boleh korang lawat:

Ankara
Anitkabir (makam ataturk)
Istana Ankara
Masjid haci bayram
Butterfly Valley National Park
Adana
Masjid Sabanci
Tas Kopru (Jambatan Rom lama)
Varda Viaduct (Jambatan keretapi film Skyfall James Bond)
cuba kebab Adana

Adiyaman
Mount Namrut
Antalya
Air terjun Duden
Masjid Yivliminare
Masjid Murat Pasya
Perkampungan Olympos
Yanartas (Batu yang terbakar/api)

Bolu
Nature Park (Tasik Abant)
Yedigoller Milli Park
Tasik Golcuk
Dogubeyazit (sempadan Turki-Armenia)
Lake Van (tasik terbesar di Turki)
Ishak Pasha Palace
Singgah Armenia sekali 

Izmir
Ephesus
Menara Jam
Temple of artemis
Masjid Isa Bey

Konya
Muzium Mevlana
Park Around the world in 80 days
Alaaddin Hill Park
Trabzon
Sumela Monastery
Muzium Hagia Sophia (jgn confuse yg di Istanbul)

Cadangan Laluan Perjalanan (memandu):
Istanbul-Bursa-Izmir-Denizli-Antalya-Konya-Adana-Cappadocia-Adiyaman-Dogubeyazit-Trabzon-Ankara-Bolu-Istanbul.

Untuk yang dah pernah sampai boleh skip bandar bandar tertentu.Kalau first timer dan kesuntukan masa, boleh cover route Istanbul-Bursa-Izmir-Denizli-Cappadocia.
Kalau naik pengangkutan awam akan makan masa yang sangat lama dan kena bertukar tukar banyak kali. Ada overnight bus yang ada wifi.

Durasi dicadangkan (minima):
10H9M atau 11H9M tidak termasuk penerbangan

Kos nak buat semua ni ?
RM9500-10500 (untuk 2 orang) termasuk sewa kereta,dan tido di hotel, tidak termasuk penerbangan

So lepas ni yang dah lawat kena lawat Turki lagi sekali yer :) dan yang belum sampai kalau nak trip once in a lifetime oleh buat terus the road less travelled ni.

Gule-gule (bye) guys. 

Credit fb: #Detektifkembara

Thursday, April 23, 2020

Glodok- Pekan Seni Jakarta.


PELUKIS JALANAN DI JAKARTA

Jakarta bukan setakat sebuah kota yang penuh dengan bangunan lama, kafe antik, muzium. Ia adalah kota teguh yang berdiri sendiri.

Saya berjalan dari pelabuhan Sunda Kelapa ke Kota Tua, terus ke Jalan Pintu Besar Selatan, Glodok, Jakarta Barat.  Saya menyelusuri jalan-jalan di tengah panas terik matahari dengan gegak gempita aktiviti manusia.

Memang saya banyak kali datang ke kota ini, menghabiskan masa di kawasan yang itu-itu juga. 

Kunjungan ulang, adalah seperti menyingkap selubung yang menutup kefahaman kita. Memang tak dinafikan kita sering terpedaya dan terpesona dengan pandangan pertama - first impression. 

Apabila selubung itu tersingkap, bersemarak perasaan untuk cuba memahami, menembusi, menyertai perasaan misteri yang membentuk dan mengadun kota ini.

Di Glodok, tempat bermukimnya para pelukis jalanan, saya berasakan berkongsi kota Jakarta dengan mereka. Banyaknya lukisan yang terpampang di dinding di sini. 

Saya terpesona dengan warna, bentuk dan nuansa yang dipaparkan dalam lukisan mereka. Corak seni menunjukkan kefasihan mereka dalam bidang senilukis.

Memang seronok hidup bebas. Bebas mengikut suara hati, bebas berkarya walaupun penghasilan tidak menentu. Idea datang mencurah, berkarya tanpa sekatan, inspirasi datang bertalu-talu.

Wang dan bakat melukis tidak boleh berhimpun pada seorang manusia. Apabila kita ada wang dan sekaligus minat terhadap lukisan, kita membantu memanjangkan hayat mereka yang ada bakat melukis. 

Para pelukis asyik menyiapkan lukisan, tidak luntur semangat meski ditemani debu jalanan dan asap kenderaan bermotor. 

Agus, pelukis jalanan sejak puluhan tahun, berasal dari Cilacap, Jawa Tengah, sudah merasai pahit maung berada di sini demi perjuangan seni dan penghidupan. 

Bagi Agus, berada di tengah komuniti di sini memberikan rasa kewujudan sebagai seorang pelukis jalanan. Inilah yang menyebabkan bilangan pelukis jalanan di Jakarta semakin bertambah.

Ruang pejalan kaki ini kelihatannya menjadi saksi bisu akan keseriusan mereka dalam seni lukis. Agus membesar di sini, di mana irama pelukis jalanan berkumandang, warung jalanan, kafe, kedai, hidup bersama-sama dengan mereka.

Agus sedang menyiapkan sebuah potret yang ditempah pelanggan. Beliau berhati-hati menyapu berus kecil, seperti pelajar sekolah melukis dengan cat air di buku gambar. 

Seinci demi seinci beliau meleretkan berus dan mengolah penuh perasaan. Warna warni berharmoni, berimprovisasi.

Komponen-komponen potret, mata, hidung, pipi, dahi, rambut, menjalar indah, merayap manis di atas kanvas. 

"Melukis adalah panggilan jiwa," kata Agus. "Ini impian saya sejak dulu. Mencipta karya selagi masih hidup," kata beliau. 

Namun Agus mengungkapkan betapa susahnya beliau dan kawan-kawan untuk mendapatkan apresiasi dan perhatian yang layak dengan hasil karya mereka. Dia berharap suatu hari nanti karyanya diiktiraf dan layak ikut serta dalam pameran.

Setiap coretan dan calitan cat menguatkan perasaan hatinya. Segaris demi segaris, lukisan ini mula menampakkan bentuknya. Agus memerlukan masa tiga hingga lima hari untuk menyiapkan karya ini. 

Pendapatan Agus tidak menentu. Ada ketikanya apabila mendapat tempahan banyak, dia boleh meraih hingga 3 atau 4 juta Rupiah sebulan.

Rakan-rakan pelukis jalanan yang lain sangat penting kepada Agus. Mereka adalah teras kehidupan sosial, tempat berbincang dan saling menyokong dari segi idea, bahkan kewangan. 

Kehidupan pelukis jalanan ini adalah sisi lain dari hiruk pikuk kota Jakarta. Ketika lingkungan dipadati dengan berbagai aktiviti komersil, ternyata mereka tetap bertahan selama lebih dari dua dekad. 

Bagi pelukis, alam ini sungguh indah. Setiap helai daun, setiap kelopak bunga, rumput menari, warna pelangi adalah keindahan kuasa Ilahi yang patut disyukuri. 

Mereka menikmati dunia, perlahan-lahan, menghabiskan masa di tepi jalan, mengamati sari pati kehidupan dari berbagai lapisan masyarakat. 

Saya dapat lihat jiwa yang terbuka di sepanjang jalan Glodok ini. Di tepi jalan yang sibuk ini, kita dapat merasai semangat Jakarta. Ia adalah bakat anugerah Tuhan kepada manusia dalam memaparkan kecantikan dan keindahan yang diminati manusia.

Lukisan punya kekuatan magis. Ia adalah detik jantung kehidupan. Mampu menciptakan ruang, dimensi, waktu dan imiginasi bagi setiap mereka yang melukisnya, juga mereka yang menatapnya. Ia wujud dalam alam fikiran setiap manusia.

Yamin Ismail

Kinabalu--Batu Raksasa

Gunung Kinabalu ini bagaikan batu raksasa berbentuk hampir empat segi sempurna, yang tersembul dari balutan awan. 

Dia menjulang seperti primadona kerana rupanya yang istimewa gara-gara puncaknya yang bertatahkan batu batan pejal.

Kita boleh menatap gunung ini dari jauh, namun untuk menyentuhnya mestilah menyiapkan sehabis kudrat untuk mendaki puncaknya setinggi 4095 meter dari paras laut dengan panjang trek naik turun sejauh 30 kilometer.

Disebabkan ia titik tertinggi Asia Tenggara, pendaki seluruh dunia datang dengan satu niat – ingin menakluki puncaknya yang sentiasa diselubungi awan itu. 

Pergunungan ini sudah dikerumuni puluhan ribu manusia, terbuka kepada semua dan ia adalah ladang bisnes.

Di pintu masuk yang terletak di Kinabalu Park, kaki saya memulakan langkah dengan perlahan. Saya menarik nafas dan mata menerawang ke segenap penjuru yang dipenuhi flora dan fauna. Kaki gunung ini terletak di tengah rimba yang tebal.

Untuk mendaki gunung ini tidak memerlukan peralatan khusus. Hanya stamina, keazaman dan keupayaan tubuh bertahan dan menyerap oksigen di altitud tinggi, itu sahaja yang diperlukan. 

Tidak ada gaung dalam yang perlu direntasi, tidak ada sungai deras yang perlu diseberangi, tidak perlu menyabung nyawa untuk sampai ke puncak

Dengan ditemani seorang malim gunung, saya berbekalkan bag galas tiga kilogram yang isinya tidak lebih dari air minuman, sedikit makanan, buku tulis plus kamera dan tongkat trekking.

Para pendaki berjalan berbondong-bondong dalam kumpulan kecil. Setiap kumpulan disertai seorang malim gunung yang wajib digunakan perkhidmatan mereka.

Dalam perjalanan kami bertemu para malim gunung lain yang membawa beban di belakang badan, mengikat tali di dahi, termengah-mengah mendaki dengan membawa bebanan berat.

Mereka membawa makanan untuk hidangan para pendaki. Segala keperluan bermula beras, ayam, roti, mee segera, meehon, sos chili, tong gas semuanya harus diangkut dari bawah.

Dengan ini para pendaki tidak perlu berberat-berat membawa makanan sendiri. Semuanya dibawa naik oleh malim gunung demi memenuhi keperluan para pendaki.

Trek pergunungan ini sunyi. Desiran angin, hembusan dan tarikan nafas, ciapan burung terdengar jelas.

Urat-urat saya seperti ditarik apabila sampai di tempat istirehat pertama 1000 meter dari paras laut. Beg diletak atas pangkin, botol air dikeluarkan.

Malim gunung tenang memerhatikan kami seolah keletihan langsung tidak memberi kesan kepada mereka. Mereka membawa hampir semua beban keduniaan, backpack yang berpintal-pintal milik para pendaki yang diletakkan di atas bahu mereka.

Setelah pendakian 3000 meter, perjalanan mula bertukar rentak. Bukan lagi rasa kagum di tengah buaian panorama alam semulajadi, bahkan bertukar menjadi deraan beban.

Nafas semakin lama semakin pendek. Setiap satu helaan nafas dirasakan begitu berharga. Jantung berdegup begitu cepat. Kaki tidak kuat lagi menongkat tanah. 

Tatkala saya mendongak, masih kelihatan ratusan anak tangga natural yang mengular dari bawah sampai ke puncak.

Seluruh pendakian adalah menaiki tangga curam. Kami berhenti dengan mulut ternganga. Kepala menunduk, sehingga terlihat batu-batu di bawah kasut. Titik puncak nun di atas sana yang dekat di mata tapi jauh di kaki.

Sebaik tiba di Laban Rata, puncak gunung terlihat begitu dekat.Tetapi tubuh badan sudah tidak kuat.

Di sini terdapat penginapan untuk para pendaki berehat sebelum meneruskan pendakian. Ia adalah titik berhenti perjalanan ini. 

Pendaki harus berehat satu malam sebelum meneruskan pendakian seawal jam 2.00 pagi keesokannya.

High camp ini semata-mata dibangun demi kemudahan pendaki, untuk mendekatkan jarak pendakian ke puncak, mengurangi perjuangan panjang menuju titik puncak. 

Buat pendaki, hari berikutnya adalah momen penting, pencapaian sekali seumur hidup.

Di sini yang ada hanyalah batu, awan, langit biru, keindahan alam yang paling alamiah, kesunyian, kawasan yang maha luas. Indah.

Hati ini bertanya, sampai mana limit kekuatan saya yang tersisa untuk mencapai puncak? Apakah perjuangan mendaki gunung hanya setakat ini sahaja?

Langit biru cerah berganti dengan awan kelabu. Angin dari puncak Kinabalu menderu-deru. Saya seperti berada di tengah badan raksasa. Siapa tahu raksasa ini tiba-tiba bergerak dan menerkam ke arah kami.

Ini adalah langkah kecil saya untuk menakluki puncak yang menjadi idaman kebanyakan manusia. Kenangan mendaki Kinabalu adalah sesuatu yang tidak dapat dilupakan.

Kinabalu bukan sekadar gunung biasa. Ia ibarat sebuah batu ujian raksasa. Penaklukan gunung adalah pembuktian keberanian, keteguhan dan kemenangan.

Yamin Ismail

Catatan mendaki Kinabalu beberapa tahun lalu

Bosnia Herzegovina. Perang & Keindahannya



Negara Bosnia Herzegovina merupakan negara Balkan yang pernah bergolak akibat perang satu ketika dahulu ini lebih dikenali sebagai Bosnia sahaja dan pernah berada dalam wilayah pemerintahan Ottoman satu ketika dulu.

Sebuah negara yang terletak di sebelah Croatia ini mempunyai penduduk seramai 3 juta orang. Orang islam di sana merupakan majoriti penduduk, negara ini berkeluasan sekitar 51,000 kilometer sahaja.

Penduduk di Bosnia merupakan dari Etnik Bosniak, Serb dan Croat. Pecahan mengikut peratus agama ialah Muslim ( 50.7%) Kristian Ortodok ( 30.75%) dan Kristian Katolik (15.19%).

Bersempadan dengan Croatia, Serbia dan Montenegro, Bosnia boleh dikatakan sebagai terkunci dari lautan kerana terletak ditengah antara beberapa negara yang lain. 

Kancah perang yang berlaku pada tahun 1992 hingga 1995 menyaksikan puluh ribu orang terbunuh. Perang ini tercetus kerana perpecahan dalam Yugoslavia itu sendiri, Bosnia telah mengistiharkan referendum untuk merdeka pada tahun 1992.

Akibat itu, gerakkan untuk menghalang Bosnia yang diketuai oleh puak serbia telah dijalankan, malah penghapusan etnik seperti Bosnia dan Croat telah berlaku dan menyebabkan ramai terbunuh, diculik malah wanita dirogol.

Dianggarkan 100,000 orang telah terbunuh sepanjang perang itu, yang menyebabkan fasiliti di negara Bosnia hampir lumpuh sepenuhnya akibat dibom dan dibedil pihak Serbia.

Setelah 20 tahun perang tamat, masih lagi kekal dalam ingatan mereka periswita yang akan kekal dalam lipatan sejarah, kita masih lagi boleh lihat kesan peluru yang menembusi dinding bangunan.

Sarajevo merupakan ibu kota Bosnia yang mempunyai penduduk seramai 300,000 orang. Antara tempat yang popular di sana ialah sebuah jambatan yang dikenali sebagai Stari Most yang terletak di Mostar yang menghubungkan 2 bandar, jambatan ini merupakan simbolik antara orang islam di timur dan orang kristian dibarat Mostar.

Bandar Mostar yang dihuni kira kira seramai 75,000 ribu orang ini merupakan antara bandar yang terbesar di Bosnia selain Sarajevo dan Tuzia.
Jambatan ini merupakan ikon utama di Mostar. Jambatan yang berusia 400 tahun ini dibina pasa abad ke 16 semasa pemerintahan empayar Ottoman. Sungai yang jernih mengalir dibawah jambatan ini dikenali sebagai Neretva.

Direka oleh Miman Hayruddin yang berkonsepkan senibina islam, ini pernah diruntuhkan semasa perang berlaku pada tahun 1993, 60 bedilan pada jambatan ini menyebabkanya runtuh ke dalam sungai. 

Namun, selepas perang tamat usaha untuk membina semula jambatan ikonik ini dijalankan, dengan bajet sebanyak 15 juta dollar, jambatan ini berjaya disiapkan pada tahun 2004.

Terkenal dengan acara terjun, jambatan ini memukau sebilangan besar pelancong yang hadir setiap akhir bulan Julai,malah lebih menarik apabila mendapat perhatian pihak Red Bull untuk menjadikan jambatan ini sebahagian tempat kejohanan terjun tebing yang diadakan oleh pihak mereka.

Monday, April 20, 2020

Ramadhan di Tanah Haram.


KISAH BENAR: PART 21. 

Kembara penyucian jiwa. 

Ramadan menjelang tiba dan hati merasa masyghul kerana setiap tahun selama tiga tahun, saya sudah berada di tanah suci untuk beramadan sebulan. 

Semasa zaman bekerja memang tak boleh cuti panjang dan tiada berpeluang untuk beramadan di tanah suci kecuali untuk seminggu dua. 

Saya hanya boleh masukkan list beramadan sebulan di tanah suci dalam bucket list yang panjang sedepa. 

Apabila pencen optional 4 tahun lepas, saya daftarkan diri dengan satu agensi umrah setelah berbincang dengan rakan-rakan yang pernah beramadan sebulan. 

Ini catatan pengalaman saya pada 2017 apabila selesai menjalani umrah dan beramadan sebulan di Mekah.

**************

Alhamdulillah selesai sudah saya menjalani ibadah puasa selama sebulan Ramadan di Mekah. 

Memang sudah lama saya memasang niat tetapi oleh kerana kekangan masa dan kesebokan urusan kerja hanya tahun ini sahaja berkesempaian.

Kebiasaan pakej umrah di bulan Ramadan adalah antara 12 hingga 16 hari yang menjadi pilihan jemaah Malaysia.

Apabila berada di Mekah saya terjumpa ramai jemaah Malaysia yang menjalani ibadah umrah dan puasa selama sebulan Ramadan.

Kebanyakan mereka adalah ‘veteran’ kerana hadir setiap tahun pada bulan ramadan dan berhari raya di Mekah. 

Ramai dari mereka berumor menjangkau 60’an hingga 80’an tetapi masih bersemangat dan bertenaga. 

Saorang makcik yang saya temui berumor 82 tahun tetapi sudah 40 tahun datang setiap kali Ramadan sebulan di Mekah.

Berada dibulan Ramadan di tanah suci bukan lah perkara yang mudah. 

Cuaca panas antara 40’C hingga 50’C saperti berada didalam sauna boleh melunturkan semangat pergi ke masjid pada waktu zuhor dan asar. 

Kesesakan dari ribuan jemaah lain semasa berduyun-duyun ke masjid sangat meletihkan badan. Makanan dari caterer kebanyakan tidak bersesuaian dengan cita rasa orang melayu. 

Mencari tempat bersolat dimasjid sangat sulit apabila datang lambat dan terpaksa meminta belas ehsan jemaah lain untuk menyelit diri diantara mereka.

Dengan kesusahan dan kepayahan tersebut pun, masih ramai yang berulang kali datang setiap tahun mengerjakan umrah dan berpuasa sebulan Ramadan di Mekah.

Apakah specialnya berpuasa di Mekah dibulan Ramadan ini?

Apabila saya bertanya kepada jemaah kenapa mereka sanggup bersusah payah selama sebulan, ramai mengatakan merasai perasaan bahagia dan ketenangan apabila berada di Mekah pada bulan Ramadan. 

Mereka juga berharap pulangan pahala beribadah pada bulan Ramadan di masjidil haram dapat memberatkan timbangan dacing diakhirat kelak.

Saya catatkan disini beberapa tip untuk mereka yang ingin menunaikan ibadah umrah dan berpuasa sebulan, bulan Ramadan di Mekah.

1. Pemilihan travel agent umrah.

Syarikat travel agent besar selalunya tidak menawarkan pakej sebulan tetapi hanya menawarkan pakej 2 minggu umrah pada awal atau akhir Ramadan. Hanya syarikat kecil menawarkan pakej sebulan dengan jumlah jemaah antara 30 hingga 50 orang. 

2. Kos

Kos berdasarkan jauhnya hotel dari masjid. Hotel 4 bintang yang berhampiran masjidil haram saperti di Zam Zam tower, Al Shafwa tower atau Hilton tower menyewa bilik dengan kos SR 40k sehingga SR200k selama sebulan Ramadan.

Pada hemat saya, hotel yang melebihi 200 meter dari pintu masjid adalah jauh untuk berjalan kaki ke masjid. 

Kebanyakan pakej sebulan menyewa hotel 3 bintang dikawasan Ajyad, antara 200 meter hingga 500 meter jauhnya dari pintu masjid.

Kos adalah antara Rm14k hingga Rm16k untuk pakej sebulan. 

Walaupun begitu ada yang menawarkan pakej berharga Rm10k tetapi hotelnya agak jauh melebihi 1 km dari masjid.

Harus diingat banyak hotel di Ajyad terletak dikawasan berbukit dan perlu mendaki berjalan kaki. Elok ditanya secara terperinci kepada travel agent kedudukan hotel yang sebenar kerana fakta ini selalu tidak dinyatakan.

3. Bilik hotel.

Bilik hotel dikongsi bersama empat atau lima jemaah. Jika duduk berdua sahaja kosnya naik sekali ganda. Satu bilik disewakan dengan harga SR23k hingga SR30k selama sebulan pada bulan Ramadan.

4. Makanan

Makanan adalah dari caterer yang dikontrakkan oleh pihak hotel. Ini bermakna travel agent tidak boleh memilih sesiapa yang mereka kehendaki. 

Caterer kebiasaan adalah tukang masak Indonesia dan ada dari Patani. Saya difahamkan caterer dari Patani selalunya memasak dengan sedap dan bersesuaian dengan selera orang Malaysia.

Ramai jemaah yang membawa makanan kering tambahan dari Malaysia sebagai pembuka selera.

5. Rutin harian.

a. 2 jam sebelum suboh (4:15am) jemaah ke masjid setelah bersahur di hotel. 

b. Selesai suboh ramai yang pulang ke hotel jam 6-7am untuk tidor. 

c. 2 jam sebelum zuhor (12:15pm) jemaah ke masjid. 

d. Jemaah iktikaf sehingga Maghrib dan beriftar di masjid. Ada jemaah yang menunggu sehingga selesai solat terawih jam 11:30pm baru balik ke hotel untuk menjamah makanan. 

e. Pada malam 10 terakhir solat qiam berjemaah di masjid mulai 12:45am hingga 3am. 

f. Jemaah bergegas balik ke hotel pada jam 3am untuk sahur dan pulang semula ke masjid untuk solat subuh jam 4:15am. 

Semua jemaah mempunyai rutin yang berbeza mengikut kemampuan masing-masing.

6. Kesihatan.

Penyakit demam, batuk dan selsema adalah perkara biasa dan jemaah dinasihatkan membawa ubatan dari Malaysia kerana kos ubat yang tinggi di farmasi. 

Jemaah juga dinasihatkan mengambil travel insurance selama berada di tanah suci dengan harga antara Rm60-120 sahaja.

7. Kerusi lipat.

Apabila duduk berjam jam beriktikaf dimasjid tentunya akan lengoh seluruh badan. Saya perhatikan ramai menggunakan kerusi lipat yang disediakan didalam masjid tetapi ianya tidak mencukupi. 

Kerusi lipat berbagai jenis ada dijual di supermarket Ben Dawood atau kedai kedai kecil dengan harga SR25 hingga SR100.

8. Penantian di Jeddah Airport.

Menunggu adalah perkara biasa kerana ribuan jemaah datang sekali gus semasa bulan Ramadan. 

Jika bernasib baik, hanya perlu menunggu 2 jam untuk melepasi imigresen dan ada yang menunggu 4 jam bergantung kepada banyaknya pendaratan kapal terbang yang membawa jemaah dari berbagai negara.

9. Scam di masjid.

Dalam masjidil haram dan masjid Nabi ramai yang sasarkan orang Malaysia dengan meminta sedekah atau menceritakan cerita sedih mengaut simpati dengan tujuan meminta wang.

Ada yang bercerita kehilangan wang dan meminta belas ehsan untuk membeli tiket kapalterbang. Ada yang mengatakan kereta rosak dan memerlukan banyak wang untuk pembaikan.

Professional scammer ini semua sasarkan jemaah dari Malaysia kerana orang kita kebanyakan nya baik hati dan pemurah. Jarang mereka meminta dari jemaah Indonesia yang sangat berhati hati dengan wang mereka.

Kalau ada sesiapa datang dan bersalaman serta bertanya soalan ‘Can you speak english’, maka berhati-hati lah kerana kemungkinan besar dia saorang professional conman yang beroperasi di masjidil haram dan masjid nabi.

Pada hemat saya, ‘be street smart’ dan nilaikan rayuan mereka ‘case to case basis’.

Kalau mereka tersangat susah dan memerlukan wang yang banyak untuk pulang kenegara asal tentunya ada pusat zakat di Mekah dan Madinah yang boleh membantu golongan asnaf musafir ini.

Makanan memang tidak menjadi masalah di tanah haram kerana sentiasa ada dermawan yang memberi makanan sabil setiap petang kepada gelandangan.

10. Kadar kadar upah servis.

a. Kadar upah menolak jemaah dengan wheelchair untuk tawaf SR500 (harga rasmi).

b. Kadar upah menolak jemaah dengan wheelchair untuk saei SR100 (harga rasmi).

c. Kadar upah membawa jemaah mencium Hajarat Aswad SR250-SR1000 (selalu nya pelajar Indonesia yang mengambil upah dan kos boleh ditawar)

d. Kadar upah menolak jemaah dengan wheelchair ke hotel di Ajyad dari King Fadh gate SR100.

e. Kadar teksi ke Tanaim adalah SR70-100 walaupun dgn meter hanya SR25 sahaja kerana biasa pemandu taxi akan overcharge tanpa kiraan meter. Pada 10 malam terakhir ramadan ada pemandu teksi yang caj SR400 untuk ke Tanaim dan balik.
Pekerja caterer Indonesia selalunya ada senarai kawan kawan mereka yang mengambil upah untuk menolak wheelchair jemaah dengan kadar yang lebih murah. 

Mereka akan mengenakan pakaian umrah untuk kelihatan saperti ahli keluarga, kerana ahli keluarga sahaja dibenarkan menolak jemaah dengan wheelchair semasa tawaf dan saei.

11. Umrah di bulan Ramadan.

Kebiasaan umrah dilakukan selepas solat terawih pada jam 11:30pm dan berakhir pada 4am sebelum suboh. 

Sekarang ini stesen bas ke Tanaim jauhnya 1.5 km dari pintu King Fahd dan kebanyakan jemaah menaiki taxi di Ajyad bersebelahan King Abd Aziz road.

12. Ruang kosong di masjid

Ruang berdekatan semua pintu utama memang sesak dengan jemaah beriktikaf dan bersolat. 

Apa yang saya perhatikan masih ada ruang kosong di kawasan penempatan jenazah dan kawasan antara Safa dan Marwah.

13. Hari Raya di Mekah.

Sejam sebelum waktu suboh semua pintu utama masjid ditutup. Jemaah boleh mencari pintu kecil sepanjang laluan Safa-Marwah dengan berpusing dijalan tepian istana raja.

Pada masa solat Eidil Fitri semua penduduk Mekah akan berduyun ke masjidil haram dan jumlah jemaah boleh mencecah sehingga 5 juta orang. 

Jemaah yang tidak sempat ke masjid boleh bersolat dijalan raya yang selalunya penuh sepanjang 1 km disekitar masjid.

14. Kekuatan mental.

Kita orang Malaysia memang tidak biasa dengan suasana bersesak sesak dengan ramai manusia. 

Jemaah dari negara dunia ketiga juga agak kasar dan kadang kala jemaah Malaysia saperti di buli. 

Minda kena kuat dan perlu banyak kesabaran bila melaksanakan umrah dan berpuasa sebulan Ramadan di Mekah untuk menghadapi semua kepayahan ini. 

Anggap lah semua sebagai sebahagian dari dugaan untuk mencapai keindahan beribadah di masjidil haram pada bulan Ramadan.

Semoga tip ini sedikit sebanyak dapat memberi pedoman dan ‘what to expect’ semasa mengerjakan umrah dan berpuasa sebulan Ramadan di Mekah.

Wallahuallam.

Catatan oleh:
Ir Haji Zainuddin Bin Haji Omar
Mekah
27 jun 2017 bersamaan 3 syawal 1438H.


Sunday, April 19, 2020

2020 Mimpi Ngeri Buat Kaukenhof, Netherlands.


Tahun 2020 Adalah Mimpi Ngeri Bagi Keukenhof, Netherlands
.
#1) Taman bunga terbesar dan tercantik di Eropah
.
#2) Tahun ini mungkin menjadi mimpi ngeri bagi mereka ekoran Covid-19 sama seperti syarikat airlines dan mana² industri pelancongan yang lain.
.
#3) Tidak ada pengujung yang datang. 
.
#4) Taman ini di buka antara pertengahan Mac hingga pertengahan Mei
.
#5) Kerajaan Belanda mengumumkan tiada perhimpunan sehingga 1 jun, jadi Keukenhof akan tutup bagi tahun 2020.
#6) Memang sangat banyak terjejas, 1500 pekerja, belum cerita ratusan partner syarikat bunga.
.
#7) Semua yang terlibat telah susun hampir setahun lamanya untuk memastikan ekspo ini berjalan dengan lancar termasuk travel agent, syarikat pengangkutan, syarikat bunga etc.
.
#8) Kududukan taman ini adalah di bandar Lisse, Netherland
#9) Mempunyai kurang lebih 7 juta tulip
.
#10) Taman seluas 32 hektar
.
#11) Seramai 800 ribu pengunjung yang melawat taman ini setiap kali di buka, lebih kurang 8 minggu(2 bulan)
.
#12) Walaupon keadaan ini berlaku, pihak pengajur akan membawakan kalian kecantikkan taman ini secara virtual
.
#13) “If people cannot come to Keukenhof, we will bring Keukenhof to the people”. Keukenhof will open Virtually via the online channels.
Ini Youtube channel mereka untuk melawat Keukenhof secara virtual ye :
https://youtu.be/a0VXJL1AT4g
.
#14) Mereka sungguh untuk mempersembahkan keindahan ini kepada semua orang
.
#15) Altenatif untuk menggantikan apa yang telah berlaku. Saya juga ada buat video di Keukenhof waktu ke sana sebelum ini. Sungguh mengasyikkan, tak percaya, cuba lah tengok. Mesti hati bergetar tengok bunga² 🥰🥰🥰
.
https://youtu.be/25FON7Ozdc8
.
InsaAllah sedikit perkongsian tentang keadaan Taman Keukenhof ekoran wabak covid-19 pada  tahun 2020
.
Somoga segalanya dipermudahkan oleh Allah. Keadaan kembali kepada asal secepat mungkin. 
.
Kehidupan kita berkat
Allah kurniakan kebahagian dan kejayaan dunia akhirat. Amiin
.
Abuzar Elfaransee
Warga Malaysia Di Eropah
.
#musafirmencarihikmah
#covid_19

Splendid View Northern Pakistan Winter.


Selamat berbpk sahabat2 semua.. 

Just nak throwback....Northen Pakistan sudah tak asing lagi bagi traveller Malaysia.. cuma sis nk highlight yg Gilgit Baltistan ni terlalu cantik during winter.. yg peliknya bilangan tourist boleh kira dgn jari.. the place is yours..this is truly winter wonderland... serious, lagi best dari winter di Iceland, Europe, Japan, Kashmir etc..

Just makesure stay di hotel yg ada pemanas n air panas utk mandi.. kami stay di Darbar Hotel, Hunza Karimabad dan di Gilgit stay di Serena Hotel.. 

My TOP 3 highlights of Northern Pakistan trip,

NO 3: Husaini Bridge Upper Hunza.. 

Diiktiraf sebagai 3rd most dangerous bridge in the world.. rasa happy sgt berjaya menyeberang ke sana.. view waktu winter sgt2 cantik.. 
Tengok warna air sungai tu.. klu musim lain air sungai tu jadi muddy.. 

Fakta:
Panjang: 193m
Tinggi: 43m
Tahun dibina: 1968
Tujuan: menghubungkan kawasan kampung dgn kawasan mereka bercucuk tanam.. ada juga summer home mereka di sana.. waktu winter bridge ni tk digunakan.. mereka cross sungai yg beku dan buat beberapa jambatan utk cross kawasan yg tk beku..

NO 2 : Passu Cones & Passu Village, Upper Hunza

Subhanallah.. itula perkataan pertama yang terpancul dari mulut bila melihat Passu Cones ni di depan mata.. terlalu cantik yg tak dpt nak digambarkan.. 

Sgt unik dan menakjubkan.. gunung yang berbentuk kon bersusun susun rapat macam crown.. dan berlapis lapis kon tu semua.. setiap kon tu ketinggiannya semua di atas 6000m. Memang tak pernah tengok fenomena bentuk muka bumi ni di mana mana.. yang lebih unik walaupun kawasan sekitar mendung n redup puncak puncak kon ni sentiasa kena cahaya matahari dan digelar golden peaks.. sekitar kawasan ni ada perkampungan yg sgt cantik.. org kampung semua baik2.. bagi masuk halaman rumah dan kawasan peliharaan mereka dan nak tumpang buang air kecil pun boleh..  

NO 1: Seriously tempat ni kat Pakistan? Frozen  blue magnificent Atta Abad lake, Upper Hunza

This is truly my wishlist.. nk berjalan n berguling atas frozen lake yg kebiruan.. yg boleh nampak structure lake tu sampai ke bawah..walaupun tk sehebat Abraham lake di Canada tapi tetap hebat gak.. 

Sila la berkunjung ke Pakistan especially during winter.. its really winter wonderland yg terlalu cantik.. orgnya ensem n baik2.. sis boleh recommend agent yg sgt responsive n bagus.. Gilgit Baltistan simply boleh claim title Heaven on Earth dari Kashmir.. 

Kalau nk menerokai Gilgit Baltistan ni sis cadangkan uols fly terus ke Islamabad naik Thai airways.. dari Islamabad boleh fly ke Skardu naik PIA...harga rm300 sehala..agent akan tunggu di Skardu dan bawa kita menerokai Gilgit Baltistan.. dan akhir journey di Gilgit sebelum fly semula ke Islamabad.. boleh spend semalam dua di Islamabad utk terokai keindahan Islamabad yg moden n juga twin city nya yg sgt tradisional Rawalpindi.. dgn cara ni kita dpt spend bnyk masa di Gilgit Baltistan.. 

Boleh berhubung dengan agent Mr Nasir +92 346 5001043
Sgt recommended.. servis cemerlang, fast respon n juga harga paling kompetitif..

Sapa ada IG, jom saling follow utk bertukar2 info n jamu mata.. 
iG sis : deena azahari
#followtofollowback

Saturday, April 18, 2020

Pasir Berbentuk Bintang.


PASIR ANEH BERBENTUK BINTANG

Pernah tak korang lihat pasir yang berbentuk bintang?

Pulau Iriomote terletak dalam wilayah Okinawa di Jepun mungkin sama seperti pulau peranginan lain di dunia. Tapi ada satu kelainan pulau ini yang menakjubkan iaitu hamparan pasirnya. Dataran pantai ini luar biasa kerana pasirnya berbentuk bintang.

Dalam bahasa Jepun, pasir bintang ini dipanggil ‘hoshizuna’. Dianggarkan, kira-kira 30 peratus hingga 50 peratus daripada jumlah keseluruhan batuan kecil di pulau berkenaan adalah hamparan pasir berupa bintang. 
Selain pulau Iriomote, pemandangan unik ini juga boleh dilihat di beberapa gugusan pulau berdekatan wilayah Okinawa. Daya penarik ini membuatkan masyarakat tempatan memanggil kawasan peranginan tersebut dengan nama ‘pantai hoshizuna’ atau ‘pantai pasir bintang’. 

Bagaimana pasir di situ berbentuk bintang? 

Pasir lazimnya berupa timbunan batuan kecil berwarna coklat. Terdiri daripada sisa-sisa ledakan gunung berapi, buangan struktur binaan dan organisma mati. Tetapi pasir bintang di Jepun ini memiliki cerita berlainan.

Pasir bintang atau Hoshizuna bukanlah batuan halus seperti kelaziman yang wujud di tepian pantai. Walaupun sekali pandang ia menyerupai pasir, tapi ia sebenarnya merupakan mikro organisma berupa cangkerang yang pernah tinggal di lantai laut. 

Dalam bahasa saintifik, ia disebut sebagai ‘baclogypsina sphaerulata’. Makhluk laut ini adalah dari kumpulan foraminifera atau foram. Hidup dalam air laut dan menjadi sumber makanan ikan. Kerana bentuknya berupa bintang dan bersaiz sangat halus, kerang ini turut diberi jolokan sebagai bayi tapak sulaiman.
 
Bagaimana hidupan tersebut boleh menjadi pasir? 

Selalunya kerang mikro seperti itu terhasil disebabkan oleh kalsium karbonat. Kawasan laut yang tinggi kandungan kalsium karbonat, berpotensi membiak banyak kerang kenit seumpama itu.  

Apabila foram mati, cangkerang atau bahagian kulit luarnya yang keras berbentuk bintang akan  tertanggal, lalu jatuh dan mendap di dasar laut. Waktu terbaik melihat terumbu comel ini terkuak keluar dari bawah permukaan laut adalah selepas kejadian angin ribut. 

Dorongan ombak dan arus laut yang kuat akan membawa timbunan bintang kecil tersebut lalu terdampar ke tepian pantai. Lama-kelamaan, batuan pasir asal ditutupi oleh longgokan foram sehingga kehadiran protozoa itu terlihat seperti pasir pantai.

Meskipun kenit, itu cuma pada saiznya. Tapi jika diukur pada usianya, foram adalah antara tinggalan jasad haiwan zaman purba yang tertua di dunia. Terdapat bukti menunjukkan fosil foram berusia 550 juta tahun. 

Penemuan bukti molekul pula mendapati kerang tersebut berusia antara 800 juta hingga 1.2 billion tahun. Ini meletakkan foram sebagai antara ole-ole dari khazanah alam yang tidak ternilai harganya.

Melawat Rumah Ibadat Agama Lain.


Agama Karaism. 

Semasa kembaraan banyak perkara baru dipelajari terutama berkenaan adat resam dan agama tempatan yang berbagai bagai. 

Pengalaman ini ‘enrich my life’ dan membuka minda saya. 

Sehingga kini saya sudah mengunjungi banyak rumah ibadah berbagai agama seperti synagogue (yahudi), fire temples (zoroastrianism), bahai, shinto shrines, berbagai church denominations, monastery (buddhist), hindu temples, confucianism dll. 

Ada kala saya kena tegur kerana masuk rumah ibadat mereka untuk lawatan sahaja dan banyak tempat pula mereka mengalukan kedatangan pelawat. 

Sebelum berkunjung saya akan membuat research terlebih dahulu berkenaan upacara keagamaan mereka dan memerhatikan bagaimana agama yang mereka anuti berkisar dalam kehidupan harian penduduk tempatan. 

Di Bali agama Hindu dharma dicampur aduk dengan adat anisme dan memainkan peranan penting dalam kehidupan harian orang sana. Hindu di Bali sangat berbeza dengan hindu di India. 

Di Ohrid Macedonia saya pernah berkunjung di Haji Turgut mosque atau lebih dikenali sebagai Cross mosque kerana ada lambang cross diatas minaret. 

Di Hebron Jerusalem saya berasa sangat pelik bila berada didalam Ibrahimi mosque yang berkongsi dinding dengan synagogue dan bersembahyang bersama orang yahudi. 

Di Chichen Itza, pyramid yang tersergam digunakan untuk upacara sembahyang dan human sacrifice seperti movie Apocalypto oleh orang maya. 

Di Lithuania saya terserempak dengan satu masyarakat yang mengamalkan satu agama unik dipanggil Karaism. 

Ianya hanya mempunyai 290 penganut seluruh dunia dan dipercayai satu daripada pecahan agama Judaism. 

Penganut Karaism digelar Karaites dan unsur agama mereka dicampur aduk dari sumber agama Islam, Kristian dan Yahudi. 

Rumah ibadah mereka seperti sebuah masjid bernama Kenessas dan saya berpeluang melawatnya semasa berada di Trakai, Lithuania pada tahun 2016. 

Karaites mengaku agama mereka adalah dari Nabi Musa as (seperti Milla Ibrahim yang berasal dari Bogor Indonesia mengaku agama mereka dari Nabi Ibrahim as) dan kebanyakan mereka berasal dari etnik turk yang migrate ke Lithuania enam ratus tahun dahulu dari Crimea peninsula.

Cara mereka sembahyang seperti orang yahudi, ada berdiri, rukuk dan sujud sambil membaca dari kitab mereka. 

Kalau kita membuat study, mana mana agama yang berasal dari nabi dan rasul Allah pasti akan mempunyai tiga rukun penting iaitu, bacaan memuji tuhan sambil berdiri, rukuk dan sujud. 

https://youtu.be/_HfyxpIeL8M

At the end of the day, saya bersyukur dilahirkan dalam agama fitrah. Alhamdulillah.

Catatan oleh:
Ir.Hj.Zainuddin.Bin.Hj.Omar 
kutuberahak.com
FB: zainuddin omar

Kejatuhan Maharaja Byzantine Constantipole di Tangan Al-Fateh

Kejatuhan kubu Constantinople dari kacamata seorang pengembara - Bahagian 2.  Sultan Muhammad Al Fateh walaupun berumor 21 tahun...