Sunday, June 14, 2020

Mayat Ditinggal di Tepi Pokok Tanpa Ada Bau.

KISAH BENAR: PART 71

Pengalaman melihat mayat tidak ditanam tanpa berbau di Bali. 

Coretan ini saya pernah pos pada tahun 2016 kerana trip yang epik, untuk bacaan rakan-rakan baru. 

****************

Sebelum trip solo ini saya telah dua kali ke Pulau Bali dan seperti pelawat lain, hanya berjalan disekitar Ubud, Kintamani, Kuta, Denpasar, Uluwatu, Nusa Dua, Tanah Lot dan kawasan sekitar. 

Lama saya menyimpan hajat menjelajah ke seluruh pulau Bali dari Nusa Dua ke Melaya, Gilimanuk dan Pemuteran, Singaraja, Tulamben, Amed, Karangasem dan kawasan Bali Tengah di Bedugul dan Jatiluwih. 

Pada 4 Disember 2016 selama seminggu saya berpeluang secara solo menjelajah ke seluruh pelusuk pulau Bali. 

Di Kintamani saya mencuba white water rafting di sungai yang digred 4 dan bermalam di Tasik Batur. 

Tempahan telah dibuat dengan Agoda disebuah hotel di Kintamani. 

Apabila di cari dengan google map saya telah sampai ke jalan mati di satu bendang, dan bila ditelefon, talian nya sudah ditamatkan. 

Saya bertanya kepada orang kampong, mereka tidak tahu menahu tentang hotel ini. 

Telah berpuloh kali saya menggunakan Agoda, dan inilah pertama kali hotel tidak dapat dijumpai. (Nasib baik pembayaran walk-in bukan caj online dengan kad kredit). 

Oleh kerana waktu sudah sore, terpaksa lah saya menyusur kampong untuk mencari homestay dan mendapat sebuah villa berhadapan Danau Batur dengan harga 200k Rp (Rm65) selepas menawar harga dari 400k Rp. 

Keesokannya saya bercadang ke kampong Trunyan dimana masyarakat nya masih mengamalkan adat dan tradisi anisme.

Untuk pergi ke kampong Trunyan, perlu menaiki bot selama 30 minit tetapi harganya agak mahal saperti dipaparkan ditepian tasik bersebelahan jeti.

Kampong Terunyan terletak di pesisiran Danau Batur di Kintamani dan terkenal dengan satu adat yang pelik dan sangat unik. 

Orang kampung terunyan mengamalkan adat hindu yang dinama kan sebagai hindu a'ge atau hindu asal. 

Upacara mereka dicampur aduk dengan upacara anisme. 

Mereka tidak mengkebumikan mayat tetapi meletak nya di bawah pokok Taru Menyan (species Banyan tree atau Ficus Benjamina).

Untuk ke kampong terunyan, pelawat boleh menaiki bot selama 15 minit dari jeti kedisan dengan harga 600k Rupiah saorang (Rm 180). Pada saya harga nya terlalu mahal dan mengesyaki ada elemen scam. 

Pada waktu pagi selepas sarapan saya pergi sekali lagi ke jeti untuk bertanya orang tempatan berkenaan kampong trunyan. 

Saorang makcik yang baik hati telah membuka rahsia bahawa ada satu jalan dimana kereta boleh sampai ke kampong terunyan sejauh 3 km melalui pesisiran danau batur. 

Dari kampong terunyan saya boleh menyewa bot ke perkuburan dengan harga lebih murah. 

Fakta ini tidak diberitahu oleh orang kampong yang saya temui kerana mereka mahukan pelawat menaiki sampan dari jeti dengan kos yang terlalu tinggi. 

Supir saya yang biasa dikawasan Kintamani pun sendiri tidak tahu berkenaan jalan sulit itu. 

Kami pun menyusuri jalan tersebut dengan kereta Avanza ke kampung tradisi Trunyan melalui jalan yang sempit tetapi dalam keadaan baik. 

Apabila sampai dikampong Trunyan, saya terpaksa nego lagi dengan orang kampong yang akan membawa sampan ke tempat perkuburan itu. 

Pada awalnya mereka meletak harga 500k Rp tetapi menurunkan harga kepada 250k Rp selepas tawar menawar. 

Beberapa kali saya mengajak supir berbangsa jawa ikut serta bersama saya ke tanah perkuburan trunyan tetapi beliau enggan kerana ketakutan. 

Saya katakan kepada beliau bahawa orang hidup lebih bahaya dari orang mati kerana yang mati sudah terputus hubungan dengan dunia. 

Manusia hidup di Kampong trunyan yang banyak menyulitkan kerana mengambil kesempatan dari pelawat dan lebih merbahaya dari mayat yang sudah terbujur kaku.

Apabila sampai di tanah perkuburan, saorang guide membawa saya ke tempat dimana mayat diletak di bawah pokok taru menyan. 

Saya berasa sangat pelik kerana tiada langsung bau mayat mereput (decomposing corpses) walhal ada yang berusia 2 minggu dan ada yang masih 5 hari. 

Mayat diletak di dalam sangkar buloh tetapi dibungkus dengan kain untuk mengelak dari dimakan binatang buas. 

Walaupun begitu masih ternampak bahagian mayat yang terbujur keluar dari bungkusan. 

Hanya 11 mayat dibenarkan diletak disitu dan mayat yang telah menjadi tulang akan di pindahkan ketempat sebelah untuk memuatkan mayat baru. 

Ada satu mayat yang saya lihat mempunyai kuku yang agak panjang. Saya cuba mencari ulat ulat bersebelahan mayat tetapi tidak menjumpai seekor pun. 

Selama satu jam, saya berada disebelahan mayat mayat tersebut sejauh 1 meter dan cuba menghidu dipersekitarannya tetapi tidak dapat mengesan apa apa bau busuk. 

Ianya seperti tidak logik dan akal saya tidak dapat menerima apa yang saya alami. 

Sebagai seorang jurutera, selama lebih 30 tahun saya dilatih untuk berfikir secara logik dan analitikal. 

(Nak tahu apa terjadi kepada mayat setelah mati:

https://www.facebook.com/madpfiona/posts/1380398591993927)

Seperti biasa otak saya cuba memproses apa yang saya lihat dan cuba mencari jawapan. 

Persoalan dibenak saya ialah kenapa mayat di bawah pokok taru menyan tidak berbau busuk? 

Baik. 

Mayat yang mereput akan mengeluarkan volatile gas dan kimia dari aktiviti micro-organism dan bacteria didalam mayat. 

Dari pembacaan saya, terdapat 30 jenis kimia yang dikeluarkan oleh mayat yang menyebabkan bau busuk termasuk methane, hydrogen sulphide, benzene, xylene, toulene, ammonia, trichloroethylene dll. 

Setelah membuat pembacaan dan pertanyaan dengan rakan seorang Professor dalam bidang Bio chemistry disebuah universiti tempatan, akhirnya saya mendapat jawapan yang tidak pernah diberitahu apabila saya google fenomena mayat yang tidak berbau di perkuburan Trunyan ini. 

Inilah jawapan nya:

Para saintis NASA mendapati bahawa beberapa jenis pokok boleh menyerap bau busuk gas kimia volatile dari udara dan pokok taru menyan (species Beringin/Banyan tree atau Ficus Benjamina) adalah satu daripada nya. 

Klik link ini:
(https://en.m.wikipedia.org/wiki/NASA_Clean_Air_Study). 

Ya, pokok Beringin yang rendang sebesar dua pemelok berusia lebih 1000 tahun itu berupaya menyedut bau busok mayat yang diletak dibawah rimbunannya. 

Ianya bukan sebab magik atau kerja dewa dewi yang menyebabkan mayat tidak berbau. Allah menjadikan pokok pokok dengan bermacam macam kegunaan nya tetapi manusia menjadi terlalu tamak dengan menebang pokok dihutan dengan penuh rakus. 

Orang kuno bangsa terunyan, 1000 tahun dahulu di kampong ini telah mendahului kajian saintifik untuk membersihkan bau mayat.

Orang melayu kita pula tidak menanam pokok beringin kerana mereka masih mempercayai ianya adalah tempat pontianak menginap dan berteduh walhal pokok beringin mempunyai keupayaan menyedut semua bau bau busuk persekitaran dalam radius 50 meter. 

Saya pernah diajar untuk membaling batu atau kasut kearah benda pelik yang muncul dihadapan atau pontianak yang sedang mengilai diatas pokok. Ini mengambil iktibar kisah nabi ibrahim as yang membaling syaitan dengan batu ketika peristiwa korban. 

Cara ini adalah lebih baik dari tip yang saya terima dari sesaorang yang mengesyorkan berbogel bila berhadapan dengan keadaan yang sama. Ianya mungkin tidak efektif kerana dikhuatiri ada hantu yang berjenis gay. 

Allahuallam. 

'Aways seek answers of your inquisitive mind'. 

Catatan oleh:
Ir. Haji Zainuddin Bin Haji Omar
kutuberahak.com
FB: Zainuddin Omar

No comments:

Post a Comment

Kejatuhan Maharaja Byzantine Constantipole di Tangan Al-Fateh

Kejatuhan kubu Constantinople dari kacamata seorang pengembara - Bahagian 2.  Sultan Muhammad Al Fateh walaupun berumor 21 tahun...