Friday, June 5, 2020

Scammer in Istanbul

KISAH BENAR - SCAMMER JUAL KARPET DI ISTANBUL
.
Kisah benar ini aku cuma ceritakan pada kawan-kawan terdekat saja sebelum ini.
3 tahun yang lepas, pada bulan Mei 2017, aku telah ditugaskan untuk ke sebuah kilang di Nurnberg, Jerman selama 2 minggu untuk menjadi wakil syarikat dalam sesi pengujian peralatan elektrikal disana. 
.
Dari lapangan terbang Incheon, Seoul aku transit di Istanbul selama 18 jam. Walaupun boleh mengambil flight direct ke Munchen atau Frankfurt, aku sengaja mengambil flight yang transit di Istanbul. Dapatlah meregang-regangkan otot kaki dan keluar sekejap bersiar-siar di kota Istanbul. Yelah, rindu dah lama tak singgah di sana lah kononnya. 😁
.
.
Aku memilih untuk hanya ke Masjid Sultan Ahmet atau masyhur dengan nama Blue Mosque dan merancang untuk bersarapan disekitar masjid tersebut, bersiar-siar mengambil angin dan berjalan kaki di persekitaran muzium Hagia Sophia dan membeli sedikit cenderamata untuk dibawa balik.
.
.
Kisahnya bermula begini. Aku sampai di Masjid Sultan Ahmet tepat pada waktu Subuh pagi tersebut. Sampai-sampai saja terus dengar azan Subuh berkumandang. Selesai solat Subuh yang diimamkan seorang warga Indonesia yang seolah kebetulan sampai di waktu yang sama, aku berehat-rehat dan mengambil kesempatan untuk tunggu di dalam masjid sehingga selesai waktu Dhuha.
.
.
Selepas habis meninjau kawasan dalam masjid, aku mengambil gambar di sekitar taman berhampiran Blue Mosque tersebut. Aku dihampiri seorang pemuda warga Turki (lihat Gambar 1) yang menawarkan diri untuk menolong aku mengambil gambar. Mungkin sebab kesian melihat aku berulang alik ke tripod, set timer dan mencuba beberapa kali untuk mendapatkan angle yang cantik.
.
.
Dengan sifat husnuzzon yang diajar sejak dari kecil, aku pun menerima saja tawaran pemuda tersebut tanpa berfikir panjang. Walhal, sebelum trip ini, aku sudah diingatkan banyak kali oleh kawan-kawan yang biasa ke Istanbul supaya berhati-hati dengan orang disini yang selalu memerangkap mangsa untuk diperas ugut atau di"pow" dengan bermacam-macam cara.
.
.
Dipendekkan cerita, pemuda ini memperkenalkan diri dengan nama Ali dan mendakwa beliau adalah tokey kedai karpet. Beliau memberitahu baru sahaja selesai solat Dhuha di masjid Sultan Ahmet dan sedang berjalan-jalan mengambil angin. Bijak betul beliau menunggang agama dan mengeluarkan dalil sekali lalu persis "Ustaz" Syed Hamadi dalam drama Nur dan Nur 2 di TV3 😆
.
.
Akhirnya dia mengajak aku berjalan-jalan sekitar kawasan Masjid Sultan Ahmet, Hagia Sophia dan beberapa tempat lain yang berdekatan. Seronok juga mendengar lebongan dan cerita sejarah tentang Turki dan Istanbul dari beliau. Ada lah yang betul, tapi ada juga yang hanyalah sekadar sembang babi terbang 😆
.
.
Dan perangkap beliau akhirnya tiba jua. Aku dibawa ke "kedai karpet milik beliau". Dibawa masuk ke kedai yang ala-ala shoplot di Malaysia saiznya. Deretan kedai beliau pun kebanyakannya menjual karpet. Aku di jemput masuk, dan dihidangkan pulak dengan "Moroccon Tea" yang sedap dan berangin. Tak pasti jika teh itu siap dimandrem tapi aku percaya tiada yang berkuasa melainkan Allah Subhanahu wa Taala.
.
.
Selesai minum, keluarlah lagi 4 orang warga Turki yang berbadan agak besar. Kononnya mula-mula mereka tolong keluarkan pelbagai contoh karpet untuk di promosi supaya aku membeli salah satunya. Memang lawa-lawa karpet Turki, tapi harga setiap satu antara RM15 ribu ke RM20 ribu. Celaka betul dia ingat aku ni Pengerusi GLC atau Penasihat 1MDB ke nak beli karpet mahal macam tu 😆
.
.
Bila dah banyak karpet yang ditunjukkan gagal membuatkan aku membuat keputusan untuk beli, akhirnya bermula lah sesi peras ugut secara halus. Pemuda Si Ali tadi mula menutup pintu masuk utama ke kedai dan meminta (memaksa sebenarnya) aku untuk membeli mana-mana karpet. Bila aku beritahu yang aku tak ada duit, dia minta aku tunjukkan kad kredit dalam wallet. Mujur aku memang sudah tidak lagi menggunakan sebarang kad kredit sejak tahun 2015.
.
Tetapi dia paksa juga aku keluarkan wallet. Bila nampak ada beberapa kad ATM, dia paksa pula buka online banking. Aku dihampiri keempat-empat orang pemuda yang lain. Aku buka lah salah satu bank yang ada baki kira-kira RM3k. Bila saja dia nampak, dia terus keluarkan satu karpet lusuh yang level-level buat alas kaki kat dapur dan paksa aku "beli" dengan harga RM3k. Aku cakap aku tak boleh sebab nak gunakan duit tu di Jerman. Mujur dia tak terfikir suruh buka online banking yang lain-lain pulak. 
.
.
Akhirnya aku terpaksa lah beli "karpet bodoh" tersebut dengan harga RM2500 setelah aku buat sikit muka kesian. Aku cuma fikir nak keluar dari kedai tersebut dan pergi secepat mungkin. Akhirnya dia setuju dan aku "dilepaskan" Ya Allah, syukur yakmat aku tak di apa-apakan, tidak dicederakan jauh sekali di perkosa 😆😆
..
.
Buat sahabat-sahabat yang merantau ke luar negara secara solo, berhati-hati dengan manusia seperti ini. Jangan ingat orang yang menunggang agama hanya ada di Malaysia, ia ada dimana-mana didunia. Mendengar kata-kata dan cerita si Ali sewaktu bersiar-siar di sekitar masjid, memang kita ingat dia adalah lebai yang alim malah mungkin beliau Imam 2 Masjid Sultan Ahmet merangkap pegawai ataupun penasihat agama di Jabatan Agama Islam Istanbul 😆 Tak lekang mulutnya menyebut MasyaAllah, Alhamdulillah dan bercerita tentang sejarah para Nabi dan para sahabat. Huh! 
.
.
"Trust No One" - ini wajib menjadi pegangan apabila travel seorang diri. Tolak secara baik "pertolongan" yang masih boleh ditolak.
.
Alhamdulillah perjalanan aku seterusnya di Nurnberg, Munich dan Frankfurt di Jerman tidak diuji dengan sebarang penipuan scammers walaupun Jerman bukanlah sebuah negara Islam dan majoriti rakyatnya beragama Kristian. Malah ada banyak kali juga hadir pertolongan-pertolongan yang tidak diminta daripada Mat dan Minah Saleh Jerman, tapi aku dah jadi sangat berhati-hati pada waktu itu.Namun memang sebenarnya mereka ikhlas membantu tanpa mengharapkan balasan atau niat menipu pun. 
.
.
Sesungguhnya contoh akhlak yang baik dan terpuji ini boleh hadir daripada sesiapa sahaja tanpa mengira bangsa, agama ataupun warna kulit. Terpulanglah kepada diri kita untuk menilainya dengan fikiran dan akal yang waras serta pertimbangan yang adil dan rasional 😊
.
.
Walaupun dengan apa yang berlaku, aku tetap tak serik untuk ke Istanbul atau Turki lagi apabila wabak COVID19 ini tamat nanti. Turki dan Istanbul memang negara yang cantik dan indah pemandangannya serta sarat dengan sejarah. 
.
Salam hormat,
Anti Scammers
Anti-Penunggang Agama 
😁

No comments:

Post a Comment

Kejatuhan Maharaja Byzantine Constantipole di Tangan Al-Fateh

Kejatuhan kubu Constantinople dari kacamata seorang pengembara - Bahagian 2.  Sultan Muhammad Al Fateh walaupun berumor 21 tahun...