Tuesday, November 23, 2010

Anna Ikan Bakar Kuantan, Pahang.

Alhamdulillah, syukur ke hadrat ilahi kerana dengan izinnya dapat lagi kita berjumpa di entri baru pula.
 Kuantan adalah ibu negeri  Pahang Darul Makmur, rasanya ini adalah perjalanan lengkap selepas lebih 10 tahun singgah ke  negeri  ini. Perjalanan ke Kuantan adalah dengan menggunakan bas Plusliner dari Kuala Lumpur. Perjalanan selama 3 ½ jam melepasi Banjaran Titiwangsa memang cukup menarik kerana itu adalah pengalaman pertama saya menggunakan Lebuhraya Pantai Timur.
Setelah lama tidak menaiki bas,perjalanan agak selesa dan murah juga sebenarnya walaupun agak gentar dengan banyak kes-kes kemalangan membabitkan bas. Setelah sampai di Kuantan kami menaiki teksi menuju Hotel Vistana dan disitulah tempat kami bermalam selama 2 malam. Hotel Vistana mempunyai beberapa cawangan di Malaysia.
Di Kuantan tidak banyak aktiviti yang kami lakukan. Seharian masa kami habiskan di Pantai Teluk Cempedak . Bersih sungguh pantai yang turut menempatkan Hotel Hyatt Regency Kuantan ini. Menurut sumber tempatan tanah di kawasan tersebut adalah milik Kebawah Duli Sultan Pahang.Ampun Tuanku. Sepanjang jalan ke sana terdapat juga Istana Kebawah Duli Sultan dan juga rumah Menteri Besar Pahang.
Di Teluk Cempedak anda tidak perlu risau kerana terdapat juga rumah tumpangan dan juga McDonald dan KFC yang beroperasi 24 jam jika tak silap saya. Deretan kedai makan yang menjual makanan terutamanya Nasi Ayam Dara terus menarik perhatian saya untuk singgah. Ayam Dara menurut tuan punya kedai bermaksud ayam muda. Jangan salah anggap pula ya.
Jeti yang membawa kita ke satu bahagian lain iaitu Pantai Hitam menurut penduduk asal juga agak menarik di mana kita perlu melalui kawasan batuan dan juga di lerang bukit. Pada petang hari, saya suka dengan aktiviti memberi makan kepada monyet-monyet yang terdapat disitu. Agak kasar juga monyet-monyet itu lebih-lebih lagi jika kita membawa makanan. Namun aktiviti memberi makan memang berlainan dengan apa yang pernah saya lakukan.
Tatkala memberi makan kepada si kecil, monyet dewasa akan menunjukkan reaksi marak seolah-olah marahkan kita. Ada juga monyet yang mengendong anak kecil di badannya. Ada juga monyet besar yang agak malas dan tunggu diberi makan. Menjelang gelapnya hari, monyet-monyet itu pun kembali ke sarangnya.
Bandar Kuantan itu sendiri agak bosan selain Sungai Kuantan tempat untuk pengunjung bergambar mengabdikan kenangan. Masjid Jamek Kuantan juga mencuri tumpuan dengan senibina menawan. Petangnya sempat juga melepaskan lelah mendapatkan khidmat tukang urut buta. Urut tapak kaki selama ½ jam cukup melegakan.
Malamnya kami berkunjung ke Anna Ikan Bakar Petai. Daripada banyak pilihan kedai makan yang terdapat disitu kedai inilah paling banyak pengunjung dengan 3 cawangan berdekatan. Memang sambal ikan bakar petainya sedap dan menyelerakan. Pilihan ikan segar dan makanan laut lain memang pelbagai dan berpatutan pula harganya. Malam itu menu kami bersama-sama geng lain iaitu:
·         Ikan Bakar Petai.
·         Sotong Goreng Tepung.
·         Tomyam Campur
·         Sayur Kailan Ikan Masin
·         Keropok Lekor
Menu air pula memang macam-macam ada, jika order air suam, gelas bersaiz xxx diberi. Makanannya pula cepat dihidang.Memang berbaloi makan disini kerana harganya tidaklah mencekik darah.
Gambar-gambar ini untuk tatapan bersama.
Insyallah kita akan bertemu lagi dalam entri yang lainnya.

No comments:

Post a Comment