Thursday, March 19, 2009

Phuket selepas Tsunami


Pengembaraan ke Phuket memang mengasyikan walaupun gentar bila mengenangkan kejadian tsunami yang berlaku 26 Dec 2004 yang meragut hamper 6000 nyawa.Ketentuan Allah memang tak terduga, seperti mana katanya “ Kun faya Kun ”, dengan mudah ia mengambil balik apa yang diberinya. Nauzzubillah min zallik, lindungilah kami dari sebarang malapetaka dan jika perlu kau mengambil nyawa kami ambillah dengan penuh kasih saying.Amin.

Pengembaraan ke Phuket juga merupakan satu rahmat kerana pada penerbangan kami  sebelumnya pesawat Airasia telah lewat hampir 3 jam dan sebagai ganti rugi pihak Airasia telah memberi  voucher sebanyak RM200 yang kami gunakan kembali untuk membeli tiket ke Phuket dengan tambahan sebanyak RM150 lagi. Rezeki namanya tu dapatlah kami bertiga terbang lagi.

Pengembaraan kami adalah selama 4 hari 3 malam dan kami memilih untuk tinggal  2 malam di Sugar Palm Kata Beach dan 1 malam di Hilton Arcadia Golf Resort. Pilihan hotel di Phuket adalah banyak dari semurah RM10 semalam hingga ribuan Ringgit semalam.

Sugar Palm Hotel adalah bersesuaian dengan budget kami, dengan harga RM128 semalam kami dapat bilik yang cukup indah yang mana kami hanya perlu membuka pintu veranda untuk ke kolam renang yang terletak di depan bilik kami.
Laman web ini mungkin boleh digunakan untuk membuat tempahan bilik. www.agoda.com.
Pada malam terakhir pula kami menetap di hotel yang agak kelas iaitu Hilton Arcadia Golf Resort kerana memang tujuan kami sebenarnya untuk keluar malam menuju ke Patong Beach yang terkenal dengan deretan pub dan bar. Jadi kami memutuskan untuk meninggalkan anak kami bersama baby sitter yang disediakan pihak hotel.

Untuk mendapatkan tawaran baik jadilah member Hilton yang semestinya percuma dan berpeluang mengumpul poin yang boleh ditebus. Saya sudah,mungkin kalian juga boleh. Layarilah www.hilton.com untuk maklumat lanjut.

Disini kami memilih untuk menyewa kereta sebagai mode pengangkutan. Banyak pilihan di airport dan tipnya carilah yang termurah dan jangan lupa tengok kereta dulu.Tawar menawar adalah perlu disini. Saya memilih untuk menyewa di luar kawasan airport dengan harga yang murah, Salesman akan berkeliaran untuk menawarkan servis mereka. Akhirnya dapatlah kami menyewa kereta yang agak selesa iaitu kereta Vios dengan harga rm100 sehari bersama insurans.

Hari pertama kami memilih untuk melakukan aktiviti ini.
Aktivit melihat matahari terbenam juga merupakan satu kemestian. Terletak di Promthep Cape. Anda perlu ke sana dan tengoklah ragam manusia di sana,eleman gajah sebagai binatang keramat turut dipuja. Pada setiap petang ribuan manusia dengan ribuan flash gambar dapat dilihat pada satu-satu masa semuanya dengan satu tujuan iaitu mendapatkan shoot terbaik matahari terbenam secara percuma. Disini anda dapat menyaksikan persembahan jalanan. Guna akal dan jika terhibur hulurlah beberapa keping duit  Bath sebagai tanda anda suka kepada artis jalanan Di situ juga banyak terdapat gerai menjual baju-baju yang cukup murah dan pelbagai.Sekali lagi dapatkan harga terbaik dengan menawar harga.


Raja Thailand juga turut dipandang tinggi di sana, rakyatnya cukup berbangga dengan YM Raja Bhumibol dan begitu menghormati baginda. Masih teringat bilamana seorang mat saleh yang tidak menghormati system diraja ditangkap dan dihukum disana.

Pengalaman menaiki gajah juga menggerunkan bila mana kita perlu mengikuti gajah menaiki bukit,menyusuri sungai,menuruni bukit dan bila memikirkan saiz fizikal gajah itu sendiri. Kombinasi dan kerjasama antara gajah dan tuannya cukup mengagumkan.Gajah itu sendiri seolah-olah paham dengan apa yang dikehendaki oleh tuannya, terpikir juga kadangkala gajah-gajah ini dieksploitasi tapi itulah kehendak alam.

Apa yang menarik perhatian sepanjang perbualan saya dengan pemandu gajah merungkai kisah sedih mereka dengan gaji yang agak rendah sehinggakan di belakang topi tertulis “ Don’t forget tip for me “. Mereka akan menolong untuk mengambil gambar bersama gajah.

Tempat pertama yang kami tujui kami sekadar member makan kepada gajah-gajah tapi tak dapat untuk dinaiki kerana si kecil Nurul Syuhada menangis ketakutan melihat besarnya gajah dari bawah. Kami hanya dapat naik di tempat kedua disebabkan kedudukan kami lebih tinggi dari gajah itu sendiri.

Malamnya kami bergerak ke Phuket Town untuk mencari makanan dan dalam perjalanan kami ternampak pasar malam yang seakan-akan Ala Malaysia. Alhamdulillah banyak peniaga bangsa Siam Islam. Makanannya juga pelbagai dan cukup menyelerakan.

Hari kedua kami memilih untuk Island Hopping, sepanjang perjalanan masih lagi dapat dilihat kesan tsunami yang berlaku dan pesatnya pembaikan dijalankan. Satu pemandangan iaitu kapal yang terdampar di sebuah kampong kesan tsunami cukup membuatkan kami mengetap bibir. Besar sungguh kesan tsunami.Maha suci Allah, lindungilah tempat kami dari bencana sedemikian.Amin.

Ini adalah antara gambar-gambar menarik yang dapat kami rakamkan.
Pada satu ketika kami bergerak ke sebuah pulau kami terserempak dengan satu pasangan Israel, mereka cukup meminati anak kami dan bermain-main dengannya. Saya agak terperanjat bila mereka memberitahu asal  dan mugkin dengan sentiment anti Israel mereka dapat mengagaknya. Kami berbual dan saya dapati mereka agak baik dan saya juga pelik kenapa perlunya peperangan dan kata mereka itu bukan kehendak mereka melainkan pemimpin Israel yang tamakkan kuasa dan kebencian pada negara Islam.

Bayangkan jika Israel tidak begitu pastinya bumi akan lebih aman dan pastinya keindahan Malaysia yang tiada tolok bandingnya akan menggamit kehadiran mereka ke negara ini. Menurut pasangan itu mereka akan ke Thailand 2 atau 3 kali setahun.

Semoga Israel akan sedar akan kezaliman mereka dan tidak lagi menindas rakyat Palestin. Amin.
Keindahan pulau-pulau dan  kejernihan airnya memang antara yang terbaik dunia. Selepas kejadian tsunami, kerja-kerja pembaikan dan pemulihan cepat dilakukan dan kedatangan pelancong terus meningkat. Maha suci Allah juga yang pandai mengatur kejadian alam, pastinya setiap apa yang berlaku ada hikmah disebaliknya.

Gambar-gambar ini sempat dirakam untuk kenangan bersama.
Malamnya kami sekali lagi ke pekan Phuket untuk menikmati Tom Yam Kung yang berbeza dengan apa yang ada di Malaysia. Deretan kedai makan adalah bercampur dengan makanan halal dan tidak halal. Di satu tempat terdapat kedai makan yang menjual makanan eksotik seperti katak.

Gerai makanan Islam agak terkebelakang namun masih boleh dilihat , harganya juga berpatutan. Mungkin selain Tom Yam Kung, boleh juga mencuba Som Tam, Sup Ekor dan macam-macam lagi. Puas hati kerana dapat mengetahui Tom Yam sebenar perlu ada lengkuas sebagai salah satu bahan masakannya.
Hari ketiga kami sekadar mencuci mata di siang harinya. Mencuci mata dengan pelbagai cara, si isteri semestinya sibuk membeli belah dengan harga yang cukup murah.Sang suami pula cukuplah sekadar melihat ribuan manusia melakukan “tanning” di pantai-pantainya yang indah.

Kami sebetulnya tidak juga berani untuk mandi sakan bila memikirkan tsunami yang pernah melanda suatu ketika dahulu. Sekadar mengambil angin dan merasai keenakkan snek di tepi jalan cukup buat kami.
Malamnya kami ke satu tempat yang cukup hebat. Phuket dikenali kerana pantainya yang bersih dan air lautnya yang jernih. Selain daripada itu Phuket juga terkenal sebagai pusat hiburan dan pelacuran yang agak terbuka. Namun jangan tidak tahu kerana Phuket juga terkenal untuk golongan transvertite atau golongan mak nyah. Sehubungan dengan itu kami ke Simon Cabaret Show di Patong .Dengan bayaran sebanyak 200 Bath kami dihiburkan selama kira-kira 2 ½ jam. Tiket boleh dibeli di kebanyakkan kedai yang menjual pakej pelancongan, sedikit diskaun juga diberi jika kita pandai menawar.

Hiburan dengan pelbagai tema dan kostum cukup mempersonakan, diselang selikan bersama eleman lucu cukup untuk saya berikan persembahan ini  5 bintang. Penuh juga panggung ini setiap kali tayangan dilakukan dan rata-rata pengunjung cukup terhibur begitu juga isteri saya.

Habis puas dengan pertunjukkan tersebut kami diberi peluang untuk bergambar bersama-sama pelakon di luar podium. Golongan Mak Nyah ini memang mempersonakan kerana mereka ini hampir 100% wanita dengan lemah lembutnya,potongan badannya,mukanya,baunya dan juga hampir segalanya. Pernah beberapa kali juga saya tertipu dengan golongan ini kerana menyangka mereka ini perempuan.

Ini merupakan salah satu tempat yang saya syorkan untuk kalian pergi Simon Cabaret Show.
Hari terakhir kami berpindah ke Hilton Arcadia Golf Resort, Hilton memang sentiasa berusaha memberi yang terbaik. Menjejakkan kaki sahaja ke sini kami terpegun melihat keindahan lobinya. Hotel ini terlalu besar sehingga kami tidak sempat untuk explore sepenuhnya.

Hari terakhir penerbangan kami terlalu awal, patut ambil penerbangan lewat.Itu yang saya pelajari iaitu pergi dengan penerbangan paling awal,balik dengan penerbangan lewat. Phuket kami tinggalkan dengan hati yang sedih dan puas.
Saksikanlah serba sedikit gambar-gambar ini.


Apa yang dapat saya simpulkan dalam perjalanan kali ini ialah:
Phuket memang menyeronokkan, kalau dah berkahwin si isteri perlu ikut sekali takut suami tak nak balik pula nanti.
Phuket memang member kelainan,anda mungkin memerlukan masa yang lebih lama untuk explore semuanya. Ada kesempatan mungkin boleh ke James Bond Island.
Phuket bagi golongan suami, adalah cukup mencabar,jagalah keimanan kalian.
Mencari makanan halal di Phuket adalah mudah.

No comments:

Post a Comment