Saturday, January 8, 2011

Kesetiaan Pada raja & Negara- Bangkok Part 2.


Hari ketiga berada di Bangkok, saya agak senang memulakan sarapan pagi dengan memakan strawberi rangup lengkap dengan gula pedas. Sedap dan berkhasiat. Dengan harga B$30 dapatlah saya mengalas  perut buat sementara waktu. Sepanjang perjalanan hanya makanan berasas ‘pork’ banyak kelihatan. Saya masih waras untuk tidak memakan makanan begitu, namun saya agak pelik dengan perangai orang tempatan, malahan Pak Arab yang boleh selamba  memakan di kedai yang turut menjual daging babi. Mungkin itu fleksibiliti mereka. Betul..lah tak percaya pula. Selera kalian bagaimana?









Pagi ini saya berjalan kaki menuju ke National Museum of Bangkok. Kawasan ini agak luas dengan persekitaran yang dijaga rapi. Asalnya tempat ini adalah istana untuk kerabat diraja pada zaman pemerintahan King Rama 1-1V dan raja pada zaman tersebut  akan tinggal di The Grand Palaca atau Wat Prakeo. Pada tahun 1874, King Rama V telah membuka tempat ini untuk menunjukkan dan menyimpan barang persembahan, ukiran kayu, patung Budha, seramik, barang kemas dan juga peralatan semasa upacara perasmian.
Pada harga B$200 pelawat dapat memasuki muzium ini dan mempelajari serba sedikit sejarah berkenaan Thailand. Agak mengejutkan juga bila mengetahui bahawa kerajaan Siam pernah menyerahkan wilayah jajahannya pada zaman dahulu yang kini milik negara kepada pihak Perancis dan England bagi tujuan mendapatkan pinjaman membina landasan keretapi dan juga sebagai pertukaran wilayah. Wilayah ini adalah Trengganu , Sai Buri atau Kedah,Palis atau Perlis dan koh Mak atau Pulau Pinang. Semua ini berlaku semasa zaman pemerintahan King Buddha Yofa atau King Rama 1.
Semasa zaman pemerintahan King Chulalongkorn, lebih banyak kemajuan di bawa kepada negara Thai. Raja ini mempunyai 6 isteri dan 51 putera dan puteri. Itulah yang berlaku bila manusia menjadi pemerintah negara dan mempunyai kekuasaan. Untuk pengetahuan buat masa sekarang raja yang memerintah adalah King Bhumibol Alduyadej.
Banyak gambar saya rakamkan untuk memori dan diharap kalian suka melihatnya.
Selepas menghabiskan kira-kira 2 jam disini saya bergerak menuju ke The Grand Palace. Masyaallah tempat ini maha besar dengan keluasan 218,000sqm yang dikelilingi 4 tembok besar sepanjang 1.9km. Kawasan ini telah dibuka oleh King Rama 1 pada tahun 1782 bukan sahaja bagi menempatkan istananya tetapi juga sebagai pejabat kerajaan dan juga Tokong The emerald Buddha.
Di kawasan ini juga terdapat beberapa monumen dan bangunan menarik seperti The Royal Monastry Of Emerald Buddha, Upper Terrace, Subsidiary Buildings, The Galleries, The Phra Maha Monthian Group, the Dusit Group, The Chakri Group dan juga The Borom Phiman Mansion. Kalian memerlukan sepanjang hari jika ingin melawat tempat ini dan perlu dating awal kerana masa terakhir untuk masuk kedalam adalah pada pukul 3 petang. Bayaran bagi kemasukan adalah B$300. Kalian perlu berpakaian sopan dengan tidak memakai seluar pendek dan berkasut jika ke sini, namun pakaian dapat dipinjam dengan deposit sebanyak B$100 dan akan dipulangkan selepas anda memulangkan pakaian tersebut.
Saya sendiri agak penat untuk menghabiskan keseluruhan kawasan ini dan cukuplah saya mengambil gambar-gambar penting disini. Selepas habis disitu saya berjalan-jalan melihat aktiviti masyarakat setempat dan mencuba makanan tempatan. Saya agak bersyukur, semasa dalam perjalanan balik saya menemui orang tempatan Islam dan saya mengambil kesempatan bertanyakan makanan halal.
Saya ditunjukkan dengan komuniti Islam dan kawasan masjid. Agak menyedihkan bila Islam menjadi agama minoriti di kota Bangkok kerana masjid terletak di celah-celah lorong sempit.Namun saya puas kerana dapat menikmati makanan halal tempatan dengan harga yang murah serta terjamin. Hot Dog yang pada mulanya saya ingatkan tidak halal adalah sangat sedap dan saya puas. Saya juga dapat menikmati kupang rebus dengan harga B$30. Enak dan menyelerakan.
Saya ada mengambil gambar yang menunjukkan ke kawasan tersebut. Ia terletak di hadapan pasaraya Foodland. Tanyakan saja keberadaan Balai Polis Khaosan yang berhadapan dengan tokong. Jika anda disini pandang kanan dan terus sehingga anda lihat Bank Ayutthaya berwarna kuning, lorong kecil yang terdapat masjid itu terletak selang 5 atau 6 kedai di sebelah kiri. Mata perlu awas kerana ia agak terpencil dan jangan laju disitu.
Malamnya saya menuju ke kawasan Sukhumvit yang agak terkenal dengan kawasan membeli belah atau kawasan hiburan Nana. Penat mencari hotel murah membawa saya ke Nap Inn di lorong  kecil di hadapan Nana Hotel. Terdapat 3 atau 4 hotel budget lain disini. Hotel ini agak murah dengan bayaran sebanyak B$700 termasuk perkhidmatan Wifi percuma.Bilik memang menarik dan kawasan stratetik tetapi saya bersumpah tidak akan kembali kerana tidur malam saya amat terganggu yang saya pasti saya bukan bermimpi dan membuatkan saya tersedar beberapa kali. Takut dibuatnya, terfikir juga apa salah saya siang tadi di kawasan suci istana.
Selepas berehat dan mandi saya memutuskan untuk berjalan melihat dan mencari lagi cenderamata. Perjalanan menemukan saya kepada makanan eksotik Thai iaitu serangga goring. Cheh, pertama kali melihat saya teruja untuk mencuba belalang dan juga kumbang hitam. Agak rangup dan juga sedikit meloyakan. Belalang rasanya seperti rumput dan kumbang hitam agak bau sedikit. Cukuplah sekali untuk pengalaman orang cakap. Bukan selera saya.
Kawasan ini juga terkenal dengan Nana Entertainment Centre, bukan apa tempat ini adalah pusat hiburan dan juga kawasan red light area dengan banyaknya aktiviti pelacuran berlaku. Pelacurnya, antarabangsa. Bilang saja Kulit Hitam, Lebanese, tempatan, pondan, semua ada disini. Amboi..cik abang..janganlah tanya saya harganya..saya sayang isteri. Berminat tawarlah sendiri.
Disini juga adalah syurga membeli barang pada harga murah. Sepanjang perjalanan banyak deretan menjual  baju, cenderamata dengan harha yang cukup murah. Sempatlah saya mendapatkan beberapa helai t- shirt dan juga koleksi rama-rama saya dengan harga yang cukup murah. Lihatlah gambarnya di bawah. Rama-rama berkembar 16 ini pada mulanya dijual dengan harga B$1300. Melihat saya agak was-was dan berminat mereka turunkan kepada B$900. Saya ambil peluang dengan berkata “ I’ll take with B$650 ” dengan nada serius. Mereka agak keberatan pada mulanya dan saya bercakap “ Oh it’s ok, I’ll find at another place “. Tawaran saya berjaya, agak bangga juga mendapatkan rama-rama tersebut yang saya fikir mungkin ia berharga RM250 di Malaysia.
Kebanyakkan penjual adalah mereka yang pekak dan bisu. Kalkulator menjadi teman mereka untuk berdagang. Kasihan juga melihat kesungguhan mereka mencari rezeki. Namun itu adalah lebih baik daripada meminta sedekah bukan?
Di Sukhumvit Road 5 atau Sukhumvit Soi 5 terdapat komuniti berbangsa Arab dengan  banyaknya penjual makanan Arab. Terdapat juga beberapa penjual makanan tempatan yang menjual makanan unik Thai. Malamnya  saya mencuba Nasi Briyani Kambing pada harga B$130. Kambing adalah kegemaran saya, tetapi bila sampai sahaja makanan nya saya agak keliru kerana ia berbeza dengan apa yang ada di Malaysia. Makanannya memang tidak menyelerakan dan saya terpaksa menghabiskannya, tambahan pula ia adalah halal.
Disinilah saya mendapatkan makanan berat saya untuk hari-hari seterusnya.
Hari ke-empat di Bangkok saya sengaja bangun lambat kerana malamnya tidur saya tidak nyenyak dek kacauan hantu Siam. Bangun pagi saya terus bersiap-siap menuju ke Siam BTS Station. Disinilah terletaknya pusat membeli belah terkenal Siam Paragon, Siam Discovery, Siam Centre, Gaysorn dan lain-lainnya. Melangkah masuk ke mana-mana pusat membeli belah ini setiap pengunjung perlu melalui pemeriksaan keselamatan takut-takut kita ada membawa sebarang bom.
Ramai manusia disini, pusat membeli belahnya juga berbeza dengan apa yang kita ada. Konsepnya berbeza. Harganya juga mungkin jauh lebih mahal. Tidak pula saya terjumpa mana-mana pusat makanan halal. Ada juga pengunjung Islam yang makan di restoren-restoren di situ.Ia membuatkan saya ingin turut serta, namun bila melangkah melihat menu selera terus padam melihat hidangan daging babi turut dihidangkan. Bagaimanalah mereka boleh turut sama ada selera?
Di Siam Discovery terdapat satu tarikan menarik iaitu Madame Tussaud Wax Museum. Harga masuk untuk pelancong adalah B$700 untuk seorang. Keluarga bertiga hanya membayar B$1500, lebih murah lantas saya berpakat dengan orang tempatan untuk berkongsi bayaran. Nasib agak menyebelahi saya kerana daripada B$700 saya hanya perlu membayar B$300 kerana mereka memikirkan bahawa saya adalah orang tempatan. Selamat dapat berjimat.
Disini saya dapat melihat banyak patung golongan berpengaruh, selebriti, pemimpin, dan atlet dunia. Banyak gambar dapat dirakam, saya sempat bermain bola bersama Ronaldinho, berada di program bual bicara Oprah Winfrey, memberi ciuman kepada Tata Young dan macam-macam lagi. Saya kepilkan bersama gambar untuk tratapan bersama. Namun apa yang lebih membanggakan bila melihat patung bekas pemimpin negara kita Tun Dr Mahathir Mohamad bersama-sama diabadikan bersama tokoh-tokoh terbilang lain. Patung –patung yang dibuat adalah cukup mempesonakan dengan tatapan rapi seolah-olah ia hidup. Namun tiada apa yang dapat menandingi kuasa Allah.
Lama juga saya menghabiskan masa disini. Saya berpuas hati dengan lawatan ke Madame Tussaud Wax Museum Bangkok meskipun ia bukan kali pertama. Saya pernah mengunjungi Madame Tussaud Wax Museum Hong Kong pada 2008 bersama isteri dan anak-anak.
Habis mengunjungi Madame Tussaud saya ke Siam Paragon. Besar sungguh kompleks membeli belah ini denga banyak kedai menjual barang mahal-mahal. Namun “ Shopping Mall “ bukan tujuan saya kemana-mana saya pergi berjalan-jalan kerana apa yang saya cari adalah keindahan dan keunikkan masyarakat tempatan.
Di sini juga terletaknya Siam Ocean World Ocenarium. Ia adalah yang terbesar di Asia Tenggara. Bayaran masuk adalah sebanyak B$900. Saya memutuskan untuk tidak masuk kerana saya mahu membawa buah hati saya iaitu along dan adiknya datang ke mari dan sama-sama belajar tentang keindahan alam. Banyak juga fakta-fakta menarik yang terdapat disini antaranya adalah:
1.       Cermin yang digunakan adalah setebal 6 inci bagi menahan air sebanyak 3000 tan air di belakangnya.
2.       Jika dikira pengunjung ke Siam Ocean World dalam sehari adalah bersamaan dengan 8 kali ganda panjang landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi.
3.       Air buatan laut yang terdapat di Siam Ocean World adalah daripada garam yang dibawa khas dari Laut Merah.
Makan malam saya agak istimewa, ia tidak perlu mahal atau di tempat eksklusif. Sepanjang perjalanan pusing-pusing saya terserempak dengan makanan tepi jalan yang cukup menarik. Keputusan untuk mencuba tidak sia-sia kerana ia terbukti berbaloi. Makanannya adalah ‘ Shrimp Salad ‘. Ia merupakan udang yang digaul bersama cili, daun pudina, kacang, sos Thai dan apa yang menarik udang yang digunakan adalah anak udang hidup yang masih melompat-lompat semasa diletakkan di dalam mangkuk. Air liur saya agak meleleh mengenangkan masa itu saat ini. Yummy.


No comments:

Post a Comment

Kejatuhan Maharaja Byzantine Constantipole di Tangan Al-Fateh

Kejatuhan kubu Constantinople dari kacamata seorang pengembara - Bahagian 2.  Sultan Muhammad Al Fateh walaupun berumor 21 tahun...