Monday, July 27, 2015

Maldives..Syurga Pulau Nan Indah... (10th Anniversary) Part I

13 Mac 2014, genaplah 10 tahun ikatan perkahwinan saya dan Mr. Hubby. Oleh kerana tahun ini adalah tahun ke-10 ulang tahun perkahwinan kami, maka awal-awal lagi kami telah merancang untuk menyambut ulang tahun kali ini di destinasi yang paling indah di dunia.

Pada mulanya saya berkira-kira untuk ke Bali. Almaklum, Bali merupakan destinasi menyulam cinta yang amat popular (terpengaruh dengan filem `Eat, Pray, Love'). Namun, perkiraan saya kemudiannya diganggu gugat. Gangguan tersebut timbul setelah melihat keindahan demi keindahan yang ditawarkan di Kepulauan Maldives. 


Justeru, Maldives yang terkenal sebagai syurga kepulauan terumbu karang dunia, menjadi pilihan hati. Pulau-pulau indah di Maldives sememangnya jadi pilihan ramai pasangan untuk berbulan madu dan menyambut ulang tahun perkahwinan. Keindahan pulau dengan suasana romantik akan mengindahkan lagi perhubungan. 

Persoalan seterusnya, adakah kami mampu untuk terbang ke negara terkecil di Benua Asia ini? Bagi menjawab persoalan tersebut, dua perkara penting harus saya pastikan iaitu kos penerbangan dan kos penginapan. 

Seawal Disember 2013 lagi saya telah mencari-cari penerbangan yang bersesuaian untuk terbang ke Maldives. Setelah berkira-kira antara MAS, AirAsia dan Singapore Airlines saya mengambil keputusan untuk memilih penerbangan dengan AirAsia. Sebabnya, AA menawarkan penerbangan dengan kos yang sekali ganda lebih murah dari MAS dan SIA. Waktu penerbangan juga amat sesuai dengan jadual check-in/check-out di kebanyakkan resort.  
Justeru, tiket penerbangan untuk 2 orang ke Male, Maldives pada 13 Mac 2014 saya beli dari website AA.


Hati terasa amat gembira kerana dapat membeli tiket penerbangan yang sekali ganda lebih murah dari website MAS dan SIA. Maka, peruntukan yang berbaki boleh saya peruntukkan dalam pemilihan resort yang lebih cantik dan lebih menarik. 

Setelah mendapat itinerary tiket yang dibeli, langkah seterusnya adalah pemilihan resort. Rupa-rupanya pemilihan resort bukanlah perkara yang mudah. Ini kerana Maldives mempunyai 1190 pulau dan lebih daripada 80 pulau dijadikan resort-resort pelancongan. Sesi memilih menjadi semakin sukar apabila banyak faktor memainkan peranan. Semestinya, sekali lagi faktor kos memainkan peranan yang sangat penting. 

Beberapa hari juga saya memaksa diri untuk membaca dan membaca mengenai review resort-resort di Maldives ini untuk membuat pilihan yang tepat.  Ketika ini saya menyedari bahawa kurangnya rakyat Malaysia yang menulis mengenai pengalaman bercuti di Kepulauan Maldives. Atas sebab ini jugalah saya niatkan dalam hati untuk menulis informasi dan pengalaman yang saya tahu supaya dapat jadi panduan kepada pembaca-pembaca yang lain untuk membuka langkah anda ke kepulauan impian ini. Malaysia Boleh kan?

Untuk siri pertama ini, saya tuliskan beberapa tips yang perlu diambil kira dalam memilih resort. Pulau-pulau di Maldives sememangnya teramat indah. Namun, harus diingat terdapat pelbagai pro & cons dalam memilih resort yang menawan hati. Antara faktor-faktor yang wajar diambil berat adalah seperti di bawah:

1. Pulau-pulau = Maldives mempunyai 1190. Cuma 200 pulau sahaja mempunyai penduduk. Lebih 80 pulau dijadikan resort pelancongan. Pulau-pulau kecil ni terbina di atas terumbu-terumbu karang yang membentuk kepulauan terumbu karang (atoll). Ada 26 atolls di seluruh Maldives. Pulau terpenting ialah Male (ibu negara). Male mempunyai 3 pulau utama yang berdekatan iaitu Male (Bandar), Hulhule (Pulau Airport) dan Hulhumale (artificial island sebelah airport island).    

2. Matawang = Ruffiya (Rf) ialah matawang Maldives. Namun, jangan bazirkan matawang RM kita untuk menukar kepada Rf. Sebelum terbang ke Maldives, tukarkan RM anda kepada USD. Matawang USD yang merupakan matawang yang digunakan di semua resort. Sebenarnya, anda hampir tidak perlu menyediakan wang tunai semasa berada di resort-resort kerana mereka lebih menghargai kad kredit yang anda ada. Semasa berada dalam resort, segala-galanya boleh dibeli menggunakan kad kredit. Anda hanya memerlukan RF sekiranya anda ke kedai-kedai kecil dan ingin menaiki bas di sekitar Male.

Nota: Naik feri dan makan di restoran (sekitar Male) juga boleh menggunakan USD. Cuma anda kena ada duit kecil kerana jika anda ingin baki, Maldivian akan memulangkan baki duit anda dengan matawang Rf.   

3. Kos penginapan = Range harga amat jauh. Anda boleh dapat hotel termurah pada sekitar RM200 dan paling mahal lebih RM10 ribu. Hotel yang murah hanya terdapat di Male sahaja. Manakala semua hotel yang berada di pulau-pulau pelancongan lain melebihi RM500 satu malam.

4. Lokasi =   Penerbangan dari Malaysia akan tiba di Lapangan Terbang Ibrahim Nasir yang terletak di Hulhule (Pulau Airport). Daripada Hulhule, anda akan menggunakan pengangkutan (airport transfer) yang disediakan oleh hotel (wajib gunakan). Di sini perlu timbangkan faktor jarak lokasi pulau resort yang anda pilih dengan Hulhule. Lagi jauh pulau yang anda pilih dari pulau airport, tentunya pulau tersebut lebih privacy dan indah. Namun, lagi jauh, maka lagi mahal dan mengambil masa yang lebih untuk sampai. Airport transfer dari airport menggunakan 3 jenis pengangkutan iaitu bot laju (speed boat), seaplane atau teksi/van. 

Nota: Seaplane malam tak jalan. Kalau flight anda sampai lewat petang, sila book hotel di Male dan naik seaplane keesokan harinya. Kalau hotel guna speed boat, pastikan ia beroperasi 24 jam. Kalau tak, kena book hotel di Male juga. 

5. Kos airport transfer = Lagi jauh resort anda dengan pulau airport, bermakna lagi mahal return transfer yang terpaksa anda bayar. Bagi pulau-pulau yang jauh jaraknya untuk menaiki bot laju, anda akan ditawarkan transfer menggunakan seaplane. FYI, paling murah kos untuk seaplane adalah USD300 seorang. Malah ada resort yang akan mencecah kos seaplane sebanyak USD1k seorang (RM3400 okeh!). Itu baru kos seaplane. Justeru, marhaen seperti saya, haruslah mencari resort-resort di sekitar Male (boleh diakses dengan speed boat). Dua bahagian Male yang menawarkan resort yang cantik-cantik adalah di North Male dan South Male. Kos speed boat juga berdasarkan jarak dengan Hulhule.  


Atoll yang atas tu North Male & yang bawah tu South Male.


6. Penduduk dan bahasa = Penduduk Maldives dikenali sebagai Maldivian. Populasi penduduk cuma 340 ribu orang. Hampir 70 ribu orang tinggal di Male. Bahasa pertuturan ialah bahasa Dhivehi. Namun, anda tak perlu bersusah payah untuk belajar Dhivehi kerana anda boleh gunakan sahaja bahasa Inggeris.  Agama rasmi ialah Islam dan rakyat Maldivian perlu menganut agama Islam. Agama lain tidak boleh disebarkan di negara ini. Perkara ini termaktub dalam Perlembagaan Maldives 1997. 

7. Penerbangan & Perbezaaan Waktu = Terdapat beberapa pilihan penerbangan dari Kuala Lumpur. Anda boleh memilih untuk menaiki MAS (direct flight), Singapore Airlines, AirAsia (ke Colombo) atau SriLankan Airways. Penerbangan mengambil masa selama 4 jam lebih. Perbezaan waktu pula adalah lebih kurang 3 jam iaitu waktu di Malaysia awal dari waktu di Maldives.  

8. Barang-barang Perlu = Jangan lupa bawa losyen pelindung UV. Sila sapukan pada keseluruhan kulit yang terdedah kepada cahaya matahari. Kalau anda tak sapu, kulit anda akan terbakar dan menggelupas. Suhu agak panas di Maldives, cumanya anda tak rasa sangat kepanasan tersebut. Sebabnya, angin pantai yang sentiasa bertiup menghambus ke pipi dan kulit anda. Selain daripada itu, bawalah topi dan shades. Kelengkapan yang sangat perlu yang lain ialah baju mandi dan selipar. Tak perlu bawa kasut tinggi, menyusahkan saja nak jalan atas pasir. 

9. Elektrik = Power socket sama macam di Malaysia. Menggunakan plug 3 pin. Jadi tak perlu bawa adapter. Boleh pakai apa-apa charger yang anda pakai di Malaysia. 

Seterusnya, saya akan sambung di Part II yang mana saya akan ceritakan resort pilihan saya dan sebab-sebabnya.

Bersambung di Part II



kisah diambil dari : http://emiliaputeri.blogspot.com/2014/03/maldivessyurga-pulau-nan-indah-10th.html

No comments:

Post a Comment

Kejatuhan Maharaja Byzantine Constantipole di Tangan Al-Fateh

Kejatuhan kubu Constantinople dari kacamata seorang pengembara - Bahagian 2.  Sultan Muhammad Al Fateh walaupun berumor 21 tahun...