Saturday, February 8, 2020

Masjid Jama di India 🇮🇳

Di New Delhi, kami singgah solat di masjid Jama yang berusia hampir 500 tahun. Sungguh tenang berada di sini, apabila kita rukuk dan sujud dalam keseragaman dan kesederhanaan yang paling hakiki, terpekur di hadapan kebesaran Allah SWT.

“Accha. Accha. Muslim brother. Welcome to New Delhi,” seorang jemaah mengucapkan kepada saya sebaik memberitahu datang dari mana. Saudara seagama adalah kunci walau kemana kita bermusafir.

Kami berbual seketika.  Dia masih menyempatkan diri mendengar kisah kedatangan saya ke India. Saya seperti juru dongeng, bercerita tentang pengalaman di kota-kota India - Agra, Jaipur, Jaisalmer, Jodhpur, Pushkar, Ajmer, Mathura-Vrindhavan, New Delhi. 

Dia beritahu dia terinspirasi, juga ingin bermusafir mengelilingi tanah airnya sendiri, tapi jalan hidupnya sebagai peniaga jalanan tidak memungkinkan dia mempunyai wang yang cukup.

Perjalanan di India adalah umpama menjalani satu pakej lengkap yang bercampur aduk. Orang kata tak ada satupun buku yang sanggup menulis tentang India, atau yang mencakupi semua tentang India.

Mengalami India adalah seperti menemukan harta karun kitab kuno dalam longgokan barang usang dalam gudang. Kitab itu membuat semua pembaca melihat nostalgia masa lalu, memandang realiti masa kini, sekaligus menantikan misteri masa depan. 

Sebuah negara yang penuh dengan paradoks dan kontradik. Paradoks yang terjelma dalam fantasi ala Bollywood bahawa hidup akan berjalan sesuai dengan alur fiksi imaginasi. 

Bollywood yang berjaya memberikan pengharapan bahawa happy ending tetap akan datang walaupun suasana sekeliling bertabrakan. 

Paradoks India ialah ketika kaki saya dipeluk oleh anak yang mengemis jalanan merintih meminta wang. Saya cuma memendam rasa kesal dalam hati dan berkata, “Maaf dik, aku tak mampu mengubah nasib hidupmu.”

Paradoks India ialah apabila setengah billion penduduk tidak memiliki tandas sendiri, menyebabkan mereka "melabur" secara terbuka dan menjadikan India sebagai mega toilet dengan aroma yang menyengit hidung. 

Ah, andaikan kita semujur Rancho (Aamir Khan) yang mendapatkan kembali Pia (Kareena Kapoor) dalam filem 3 Idiots.

Pia sudah kenakan pakaian berkilau merah berhiasan untaian manik dari kepala sampai hujung kaki. Pernikahan tinggal beberapa minit pada detik yang menjanjikan keberuntungan.

Semua menunggu pengantin lelaki bersiap sehinggalah Pia mengubah fikiran lalu lari bersama Farhan.

Pia tahu ini adalah pilihan berat yang harus dijalani, pengorbanan yang harus dilakukan, demi bersama Rancho yang sekian lama dia memendam asmara.

Di langit biru yang cerah, di pulau buatan di tengah tasik, Rancho bagaikan bermimpi melihat sang gadis yang dicintai datang menaiki vespa kuning bertopi keledar merah. 

Mata si gadis berkaca-kaca. Dari jauh jadi semakin dekat. Bermimpikah aku, tanya Rancho. Oh, apa yang harus dilakukan?

Tiba-tiba sebiji penampar hinggap di pipi Rancho, adegan menjadi anti-klimaks, seketika itu juga cerita berbalik arah, ajaib yang tidak diduga.
Rancho yang sebelum ini undur diri dari permainan sandiwara cinta tiga segi kini bertukar-tukar madah cinta dengan Pia. 
Rancho baru sedar Pia ditakdirkan bersama dengannya.

Sekarang Pia dan Rancho boleh ketawa riang, merekalah pasangan paling bahagia.

Memang seperti itulah seharusnya akhir cerita. Fantasi cinta yang berakhir dengan memiliki kekasih dan semua masalah selesai.

Demikianlah model tourism India, sebuah fantasi sempurna ala Bollywood. Namun, seperti pengemis yang terpaksa bangun dari mimpi menjadi millionair gara-gara perut berkeroncong. 
Fantasi ini tenggelam dalam kebisingan dan hiruk pikuk kota-kota India. Inilah senario ala India yang boleh bersambung-sambung hingga seribu episod.

Ah, sudahlah, India begitu meletihkan!

Yamin Ismail
Letih tapi tak serik

No comments:

Post a Comment

Kejatuhan Maharaja Byzantine Constantipole di Tangan Al-Fateh

Kejatuhan kubu Constantinople dari kacamata seorang pengembara - Bahagian 2.  Sultan Muhammad Al Fateh walaupun berumor 21 tahun...