Sunday, May 24, 2020

Trans Java Trip - Amazing 16 Day Trip

KISAH BENAR: PART 53

Rengkasan trip overland trans-java.

(Awas catatan panjang, siapa pemalas membaca sila tengok gambar sahaja tapi rugilah tidak dapat ilmu free). 

Trip overland trans-java island saya lakukan bersama isteri pada pengakhir tahun 2019. 

Tiada disangka ianya trip terakhir sebelum serangan covid-19 dan arahan PKP pada awal tahun 2020. 

Kembara Northern Pakistan dan cruise round the world 3 bulan terpaksa dibatalkan. 

Ramai perlekeh jika rakan ingin berkembara ditanah jawa dan kesana hanya kepada mereka yang suka bershopping dan trip kulinari sahaja. 

Destinasi ke Bali menjadi tumpuan kerana ingin merasai budaya orang hindu yang unik. 

Sebelum trip saya tidak terlepas dari pemikiran stereotype seperti kebanyakan orang lain terhadap pulau jawa dan orang jawa. 

Walaupun kerap berpergian ke Jakarta dan Bandung, saya tidak merasakan pulau jawa dan penduduknya ‘special’ kecuali selepas trip trans-java ini. 

Ramai berkembara tanpa membuka mata dan hati, kerana tidak merasai degupan jantung dan budaya hidup orang tempatan.

Apatah lagi jika berholiday berombongan mengikut agensi pelancungan, tentunya diheret oleh tour guide untuk ‘disembelih’ bila bershopping dan melawat tempat tempat tourist trap sahaja. 

Selama 16 hari saya berkelana di tanah jawa, banyak perkara baru saya belajar yang tidak disangkakan. 

Selama ini saya merasakan sudah faham adat dan cara hidup orang jawa yang ramai bermastautin ratusan tahun di Malaysia. 

Trip ini telah membuka mata dan minda saya bagaimana hebatnya orang jawa menunjang tradisi budaya dan ketinggian sopan santun mereka. 

Indonesia memiliki lebih dari 1300 suku yang tersebar dari Sabang hingga Merauke dan 300 kelompok etnik. 

Dari ribuan suku tersebut, Suku Jawa menjadi kelompok suku terbesar di Indonesia dengan jumlah mencapai 41% dari populasi. 

Tentunya orang luar yang bermastautin untuk bekerja atau belajar ditanah jawa sudah tidak asing lagi dengan perbezaan adat resam dan cara hidup orang jawa. 

Walaupun perjalanan selama dua minggu banyak perkara penting yang saya belajar dari trip ini. 

Catatan ini adalah rengkasan dari beberapa posting yang pernah saya lekarkan sebelum ini. 

1. Falsafah hidup orang jawa. 

Selama dua minggu trip overland pulau Jawa, saya notis wong jowo ini rajin bekerja dan mempunyai budi bahasa yang tinggi kerana mereka mengamalkan tradisi turun temurun beribu tahun dari zaman agama buddha, hindu dan Islam. 

Di Sunda bahasa percakapan mereka lembut dan beralun seperti bahasa orang Northern Thailand. 

Kalau dikaji tamadun besar dunia seperti Mayan dan Roman, masing-masing mempunyai kalendar sendiri. Orang Jawa mempunyai kalendar mereka yang berusia 2000 tahun. Bezanya, kaum Mayan dan Roman sudah irrelevant tetapi bangsa jawa masih thriving. 

Mesti tak semua, namun orang Jawa sudah diajarkan menjaga etika dan sopan santun sedari kecil terutamanya falsafah hidup orang jawa. 

Tahu kah anda apa falsafah yang dipegang oleh orang Jawa?

1. Wong nrimo uripe dowo 
(orang yang bersyukur hidupnya lama).

2. Wong sabar, rejekine jembar 
(orang sabar rezekinya luas).

3. Wong ngalah uripe barokah 
(orang yang merendah diri hidupnya berkat).

4. Wong jujur uripe makmur 
(orang jujur hidupnya makmur).

5. Wong suloyo uripe soro 
(orang malas hidupnya sengsara).

6. Wong sombong amale kobong 
(orang sombong amalannya hangus).

7. Wong ngersulo gelis tuwo 
(orang yang suka berkeluhkesah cepat tua).

8. Wong tlaten bakal panen 
(orang yang rajin akan berhasil dan berjaya).

9. Sing wis lungo lalekno 
(yang sudah pergi lupakan).

10. Sing durung teko enteno 
(yang belum datang tunggulah).

11. Sing wis ono syukurono 
(yang sudah ada syukurilah).

12. Pitutur jowo iku ajaran agomo (Falsafah Jawa itu ajaran agama).

Banyak tradisi yang yang masih lestari dan dilakukan sampai sekarang berdasarkan falsafah-falsafah tersebut. 

2. Islam Kejawen. 

Satu perkara yang saya baru belajar dalam trip trans-java ini ialah mengenai Islam Kejawen. 

Saya saksikan banyak ritual pelik yang masih diamalkan oleh orang jawa dan tertanya kenapa mereka masih melakukan seperti apa yang diamalkan oleh datuk moyang mereka dahulu.

Semasa khutbah jumaat di Masjid Agong Solo, Khatib telah menasihati jemaah berkenaan aqidah, ikhlas, hidayah dan cara menjadi orang baik. 

Tidak satu kali pun Khatib berkeras dalam khutbah menyebut pasal neraka, murtad atau kafir. 

Inilah cara walisongo mengajak orang jawa untuk memeluk Islam, bukan dengan cara ugutan dan kekerasan. 

Selama ratusan tahun, amalan Hindu dan adat tradisi ‘assimilate’ dengan ajaran Islam yang dinamakan Islam Kejawen. 

Di Malaysia tradisi jawa seperti kuda kepang, gemelan, barongan dll masih dipergayakan yang dibawa oleh datuk moyang dari tanah jawa. 

Puas saya bertanya orang disini dan membaca untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Islam Kejawen dan mendapati ianya adalah assimilasi adat dan ritual budaya jawa dari zaman hindu dengan Islam. 

Pada mereka, sembahyang hanya pada Allah jua tetapi dengan cara yang berbeza. Biar mati anak jangan mati adat adalah pepatah melayu dibawa dari Jawa yang mengutamakan adat dan tradisi dari segalanya. 

Selain dari solat 5 kali sehari, penganut Islam Kejawen sembahyang tambahan dengan cara ritual 5 kali setahun menggunakan colok, api dan membaca mantera persis agama hindu. Ianya masih diamalkan sehingga sekarang. 

Saya difahamkan bahawa ramai pengikut NU adalah pengamal Islam Kejawen tetapi tidak dari Muhammadiyah Indonesia yang purist. 

Selain itu Kalender jawa yang berusia 2000 tahun masih menjadi pegangan ramai pengikut Islam Kejawen untuk menentukan kehidupan mereka. 

3. Orang jawa sangat menghormati walisongo. 

Jika anda berada di Jogja mesti perasan candi candi besar berjumlah 28 kesemuanya yang dibina pada kurun ke 8 hingga 9 AD.  

Candi seperti Borobodur (760-830 AD), Candi Prambanan (850 AD), Candi Plaosan (825-850 AD) dan Candi Sewu (780 AD) merupakan Candi Hindu dan Buddha yang menjadi agama orang jawa pada zaman tersebut. 

Saya mula terfikir apabila melihat candi candi gah tersebut tentunya orang jawa beragama hindu dan buddha mempunyai zaman kegemilangan beratus tahun tetapi kenapa mereka beragama Islam sekarang?  

Saya selidik serta membuat pembacaan dimana terdapat catatan Dinasti Tang China, pada waktu itu (kurun ke-7 AD), jumlah orang Islam di tanah jawi hanya ratusan orang sahaja dan mereka hanya pedagang dari kawasan arabia dan persia.

Catatan Dinasti Tang mengatakan bahawa para penduduk pribumi tanah jawi tidak ada yang mahu memeluk agama Islam kerana setia dengan agama hindu dan buddha. 

Bukti sejarah kedua, catatan Marco Polo singgah ke tanah jawi pada tahun 1200-an AD. Dalam catatannya, yang beragama Islam di nusantara masih sama jumlah dengan catatan Dinasti Tang; penduduk lokal nusantara tetap tidak ada yang memeluk agama Islam.

Bukti sejarah ketiga, dalam catatan Laksamana Cheng Ho pada tahun 1433, tetap tercatat hanya orang asing yang memeluk agama Islam dan tidak pribumi. 

Jadi, kalau kita halusi ketiga catatan tersebut, sudah lebih dari 800 tahun agama Islam tidak diterima penduduk pribumi. Agama Islam hanya dipeluk oleh orang asing pedagang arab dan persia. 

Peliknya, pada dua catatan para pengembara eropah yang ditulis pada tahun 1515 dan 1522, disebutkan bahawa bangsa nusantara adalah sebuah bangsa yang majoritinya memeluk agama Islam.

Bagaimana dari tahun 1433 hingga 1515 iaitu 82 tahun sahaja, bangsa jawa boleh berubah memeluk Islam dari agama hindu dan buddha walhal selama 800 tahun sebelum 1433 tanah jawa masih majoriti beragama hindu dan buddha?

Ramai sejarahwan mengatakan bahawa orang jawa memeluk Islam ‘en masse’ dari usaha dakwah walisongo yang bermula dari Sunan Gresik atau Maulana Malik Ibrahim (wafat 1419), 
Sunan Ampel atau Raden Rahmat, Sunan Bonang atau Raden Makhdum Ibrahim, 
Sunan Drajat atau Raden Qasim,
Sunan Kudus atau Ja'far Shadiq,
Sunan Giri atau Raden Paku atau Ainul Yaqin,
Sunan Kalijaga atau Raden Sahid,
Sunan Muria atau Raden Umar Said,
Sunan Gunung Jati atau Syarif Hidayatullah (1479-1568) 

Dari cara dakwah walisongo yang unik tanpa paksaan atau peperangan, keseluruhan orang pribumi pulau jawa (kecuali Bali) memeluk Islam dalam masa 82 tahun sahaja sehingga sekarang, walaupun mereka telah setia dengan agama datuk moyang mereka selama lebih 800 tahun. 

Kita lihat pula sejarah Islamic Spain. 

Pada 2 Januari 1492 setelah kalah didalam peperangan, Sultan Granada Muhammad XII (Raja Boabdil) menyerah Emirate of Granada, kota Granada, dan istana Alhambra kepada Queen Isabella dan tentera Kristian, dan berakhirnya 800 tahun pemerintahan Islam di Spain yang bermula pada 711.

Queen Isabela dan King Ferdinand telah menjalankan ‘Spanish Inquisition’ untuk memaksa penduduk bukan kristian memeluk agama kristian dengan cara paksaan, buang negara dan pembunuhan beramai-ramai. 

Pada tahun 1502 iaitu setelah 10 tahun Raja kristian  memerintah, kesemua penduduk Islamic Spain yang mempunyai 800 tahun sejarah telah bertukar 100 peratus kepada agama kristian. 

Nampak tak bagaimana berbezanya cara Wali Songo dan Queen Isabela?

Now you know, kenapa orang jawa sangat menghormati dan menghargai jasa Wali Songo. Subhanallah. 

Ramai kita rakyat Malaysia berbangsa melayu yang berketurunan jawa/minang/banjar/rawa dll juga wajib bersyukur kerana dengan usaha walisongo, kita berada dalam agama fitrah. Alhamdulillah. 

4. Transmigrasi orang jawa hingga ke Suriname. 

Tahukah anda bahawa terdapat lebih 74,000 orang jawa di Suriname. 

Suriname adalah sebuah negara bekas jajahan belanda yang terletak di South America, bersebelahan Guyana dan Brazil serta lautan Atlantik. 

Saya pernah berjumpa dengan ramai orang Suriname semasa kembaraan dan ramai dari mereka sekarang datang ke pulau jawa untuk mencari roots mereka (supir saya sekarang pernah membawa orang jawa suriname melancung disekitar pulau jawa). 

Rakan saya yang membuat perniagaan di Suriname tiada masalah semasa berada di Paramaribo (ibu negara Suriname) kerana terdapat masjid dan masyarakat jawa islam disana. 

Bagaimana orang jawa sebegitu ramai boleh berhijrah ke Suriname sejauh 18,000 km jauhnya dari pulau jawa?  

Semasa menjelajah dipulau jawa sekarang memang saya notis bahawa pulau ini padat dengan manusia. Jalanrayanya sempit dan pinggir jalan penuh dengan rumah tanpa sidetable. Setiap tanah diusahakan tanpa terbiar dan jarang saya berjumpa ruang kosong tanpa tanaman. Semua bukit yang tidak digazet sebagai National Park dibuat terracing untuk tanaman crops. 

Ketika Suharto menjadi Presiden Indonesia selama 32 tahun, program transmigrasi digiatkan dimana penduduk pulau jawa dipindahkan ke pulau pulau berdekatan dengan pemberian tanah percuma untuk mengurangkan kepadatan pulau jawa ini.

Sebenarnya program trasmigrasi telah dimulakan oleh pemerintah belanda pada kurun ke 19 kerana pada zaman itu pulau jawa sudah pun padat. 

Pemerintah belanda khuatir jika kepadatan pulau jawa tidak dikurangkan sudah tentu akan menyebabkan kemelaratan rakyat dan mereka akan memberontak,  selain dari bencana dari letusan gunung berapi yang kerap berlaku. 

Program transmigrasi pertama dimulakan pada tahun 1890 apabila kapal pertama membawa 94 orang ke Suriname untuk bekerja diladang tebu dengan kontrak selama 5 tahun.

Sehingga tahun 1939, 33,000 rakyat jawa sudah berhijrah ke Suriname dimana cuaca nya panas, serupa dengan negara tropik yang lain. 

Walaupun begitu, ada orang jawa yang pulang semula ketempat asal mereka setelah kontrak tamat tetapi majoriti membuat keputusan untuk menetap disana sehingga sekarang dan menjadi rakyat Suriname. 

Orang jawa yang menjadi rakyat Suriname masih boleh berbahasa jawa tetapi mereka sudah tidak boleh berbahasa Indonesia. Kebanyakan mereka berasal dari Jawa Tengah, ada juga dari Jawa Timur dan yang paling sedikit dari Jawa Barat.

Ada siapa ingin kembara ke Suriname? 

Dari rakan rakan yang pernah kesana, nothing much to see there, so it will be last in my bucket list.

5. Kebanyakan aktiviti pertanian masih mengamalkan cara primitif. 

Semasa di Pulau Jawa selama 2 minggu cuaca adalah kemarau dan diberitahu sudah 5 bulan tidak hujan. Perkara sama saya diberitahu semasa di Jawa Timur, Jawa Tengah dan Jawa Barat.

Dalam perjalanan dari satu kabupaten kepada kabupaten berdekatan memang saya notis pembakaran open burning jerami padi berleluasa tetapi kerana fasa tanaman padi berlainan ianya tidak menjejaskan sangat persekitaran setakat kawasan setempat sahaja.  

Setiap musim kemarau mereka mengambil peluang membersih kawasan untuk memulakan fasa baru menamam padi sebelum musim hujan. 

Praktis ini diamalkan semenjak ribuan tahun dan tiada satu pemerintah Indonesia yang berani menegur amalan ini. 

Apa yang menjadi masalah peneroka hutan pun melaksanakan cara yang sama apabila membuka kebun baru dengan cara ‘slash and burn’ di Riau, Sumatera dan Kalimantan. 

Kenapa haze atau jerebu muncul kebelakangan ini dan tidak 20 tahun dahulu?

Ini adalah kerana perubahan cuaca (climate change) yang sangat ketara semenjak 10 tahun kebelakangan dengan kemarau yang panjang dan musim hujan yang tidak menentu. Dulu, kemarau hanya sebulan dua dengan intermittent rain tetapi sekarang kemarau tanpa hujan melarat sehingga tiga hingga lima bulan. 

Sorry to burst your bubble, tetapi pada pandangan saya masalah ini tidak ada penyelesaian selagi setiap ketua kampong, ketua desa, ketua kabupaten, Gabenor dll disetiap provinsi di Indonesia komited untuk membasmikan cara penerokaan ‘slash and burn’ (i don’t foresee it coming). 

Come September and October, get ready with your mask or better still, go holiday. 😀

Amma ba’du....

Itinerari perjalanan adalah seperti berikut (tidak termasuk Jakarta, Banten, Bogor dan Bandung kerana saya pernah kesana sebelum ini),

Day 1 - Surabaya, Madura, Surabaya 
Day 2 - Malang, Tumpak Sewu, Batu. 
Day 3 - Wonosobo, Dieng. 
Day 4 - Kediri, Ponorogo, Pacitan. 
Day 5 - Klayar, Timang, Jogja
Day 6 - Jogja
Day 7 - Jogja 
Day 8 - Cilacap
Day 9 - Tasekmalaya. 
Day 10 - Cirebon, Semarang, Demak, Surakarta. 
Day 11 - Surakarta
Day 12 - Probolinggo, Bromo
Day 13 - Banyuwangi, Ijen
Day 14 - Surabaya
Day 15 - Surabaya
Day 16 - Surabaya 

Beberapa pertukaran rancangan dibuat semasa perjalanan kerana trip ini adalah free and easy. 

Setiap perjalanan harian jalanraya antara bandar ke bandar adalah antara 4 hingga 5 jam sahaja agar tidak keletihan. 

Saya akan membuat booking hotel sehari sebelum destinasi keesokannya menggunakan bookingdotcom, Agoda dan Traveloka. 

Kebiasaan taraf hotel adalah tiga atau empat star kerana harga yang sangat berpatutan berbanding negara lain. 

Dalam trip ini banyak yang saya pelajari berkenaan adat resam orang jawa dan telah dapat merubah persepsi negatif terhadap mereka.

Keturunan sebelah bapa saya berasal dari tanah jawa dan berasa sayu dapat menghayati bagaimana gigihnya orang jawa nenek moyang saya bekerja untuk menyara hidup keluarga disamping menyanjung tinggi tradisi mereka yang berusia ribuan tahun. 

Terlalu banyak tempat wisata di jawa ini dan saya terpaksa prioritise mengunjungi wisata yang mempunyai pemandangan alam semula jadi yang epik sahaja kerana kekangan masa. 

Wallahua’lam. 

Catatan oleh:
Ir.Hj.Zainuddin.Bin.Hj.Omar 
Kutuberahak.com
FB: zainuddin omar

* pic dari google.

No comments:

Post a Comment

Kejatuhan Maharaja Byzantine Constantipole di Tangan Al-Fateh

Kejatuhan kubu Constantinople dari kacamata seorang pengembara - Bahagian 2.  Sultan Muhammad Al Fateh walaupun berumor 21 tahun...