Monday, April 20, 2020

Ramadhan di Tanah Haram.


KISAH BENAR: PART 21. 

Kembara penyucian jiwa. 

Ramadan menjelang tiba dan hati merasa masyghul kerana setiap tahun selama tiga tahun, saya sudah berada di tanah suci untuk beramadan sebulan. 

Semasa zaman bekerja memang tak boleh cuti panjang dan tiada berpeluang untuk beramadan di tanah suci kecuali untuk seminggu dua. 

Saya hanya boleh masukkan list beramadan sebulan di tanah suci dalam bucket list yang panjang sedepa. 

Apabila pencen optional 4 tahun lepas, saya daftarkan diri dengan satu agensi umrah setelah berbincang dengan rakan-rakan yang pernah beramadan sebulan. 

Ini catatan pengalaman saya pada 2017 apabila selesai menjalani umrah dan beramadan sebulan di Mekah.

**************

Alhamdulillah selesai sudah saya menjalani ibadah puasa selama sebulan Ramadan di Mekah. 

Memang sudah lama saya memasang niat tetapi oleh kerana kekangan masa dan kesebokan urusan kerja hanya tahun ini sahaja berkesempaian.

Kebiasaan pakej umrah di bulan Ramadan adalah antara 12 hingga 16 hari yang menjadi pilihan jemaah Malaysia.

Apabila berada di Mekah saya terjumpa ramai jemaah Malaysia yang menjalani ibadah umrah dan puasa selama sebulan Ramadan.

Kebanyakan mereka adalah ‘veteran’ kerana hadir setiap tahun pada bulan ramadan dan berhari raya di Mekah. 

Ramai dari mereka berumor menjangkau 60’an hingga 80’an tetapi masih bersemangat dan bertenaga. 

Saorang makcik yang saya temui berumor 82 tahun tetapi sudah 40 tahun datang setiap kali Ramadan sebulan di Mekah.

Berada dibulan Ramadan di tanah suci bukan lah perkara yang mudah. 

Cuaca panas antara 40’C hingga 50’C saperti berada didalam sauna boleh melunturkan semangat pergi ke masjid pada waktu zuhor dan asar. 

Kesesakan dari ribuan jemaah lain semasa berduyun-duyun ke masjid sangat meletihkan badan. Makanan dari caterer kebanyakan tidak bersesuaian dengan cita rasa orang melayu. 

Mencari tempat bersolat dimasjid sangat sulit apabila datang lambat dan terpaksa meminta belas ehsan jemaah lain untuk menyelit diri diantara mereka.

Dengan kesusahan dan kepayahan tersebut pun, masih ramai yang berulang kali datang setiap tahun mengerjakan umrah dan berpuasa sebulan Ramadan di Mekah.

Apakah specialnya berpuasa di Mekah dibulan Ramadan ini?

Apabila saya bertanya kepada jemaah kenapa mereka sanggup bersusah payah selama sebulan, ramai mengatakan merasai perasaan bahagia dan ketenangan apabila berada di Mekah pada bulan Ramadan. 

Mereka juga berharap pulangan pahala beribadah pada bulan Ramadan di masjidil haram dapat memberatkan timbangan dacing diakhirat kelak.

Saya catatkan disini beberapa tip untuk mereka yang ingin menunaikan ibadah umrah dan berpuasa sebulan, bulan Ramadan di Mekah.

1. Pemilihan travel agent umrah.

Syarikat travel agent besar selalunya tidak menawarkan pakej sebulan tetapi hanya menawarkan pakej 2 minggu umrah pada awal atau akhir Ramadan. Hanya syarikat kecil menawarkan pakej sebulan dengan jumlah jemaah antara 30 hingga 50 orang. 

2. Kos

Kos berdasarkan jauhnya hotel dari masjid. Hotel 4 bintang yang berhampiran masjidil haram saperti di Zam Zam tower, Al Shafwa tower atau Hilton tower menyewa bilik dengan kos SR 40k sehingga SR200k selama sebulan Ramadan.

Pada hemat saya, hotel yang melebihi 200 meter dari pintu masjid adalah jauh untuk berjalan kaki ke masjid. 

Kebanyakan pakej sebulan menyewa hotel 3 bintang dikawasan Ajyad, antara 200 meter hingga 500 meter jauhnya dari pintu masjid.

Kos adalah antara Rm14k hingga Rm16k untuk pakej sebulan. 

Walaupun begitu ada yang menawarkan pakej berharga Rm10k tetapi hotelnya agak jauh melebihi 1 km dari masjid.

Harus diingat banyak hotel di Ajyad terletak dikawasan berbukit dan perlu mendaki berjalan kaki. Elok ditanya secara terperinci kepada travel agent kedudukan hotel yang sebenar kerana fakta ini selalu tidak dinyatakan.

3. Bilik hotel.

Bilik hotel dikongsi bersama empat atau lima jemaah. Jika duduk berdua sahaja kosnya naik sekali ganda. Satu bilik disewakan dengan harga SR23k hingga SR30k selama sebulan pada bulan Ramadan.

4. Makanan

Makanan adalah dari caterer yang dikontrakkan oleh pihak hotel. Ini bermakna travel agent tidak boleh memilih sesiapa yang mereka kehendaki. 

Caterer kebiasaan adalah tukang masak Indonesia dan ada dari Patani. Saya difahamkan caterer dari Patani selalunya memasak dengan sedap dan bersesuaian dengan selera orang Malaysia.

Ramai jemaah yang membawa makanan kering tambahan dari Malaysia sebagai pembuka selera.

5. Rutin harian.

a. 2 jam sebelum suboh (4:15am) jemaah ke masjid setelah bersahur di hotel. 

b. Selesai suboh ramai yang pulang ke hotel jam 6-7am untuk tidor. 

c. 2 jam sebelum zuhor (12:15pm) jemaah ke masjid. 

d. Jemaah iktikaf sehingga Maghrib dan beriftar di masjid. Ada jemaah yang menunggu sehingga selesai solat terawih jam 11:30pm baru balik ke hotel untuk menjamah makanan. 

e. Pada malam 10 terakhir solat qiam berjemaah di masjid mulai 12:45am hingga 3am. 

f. Jemaah bergegas balik ke hotel pada jam 3am untuk sahur dan pulang semula ke masjid untuk solat subuh jam 4:15am. 

Semua jemaah mempunyai rutin yang berbeza mengikut kemampuan masing-masing.

6. Kesihatan.

Penyakit demam, batuk dan selsema adalah perkara biasa dan jemaah dinasihatkan membawa ubatan dari Malaysia kerana kos ubat yang tinggi di farmasi. 

Jemaah juga dinasihatkan mengambil travel insurance selama berada di tanah suci dengan harga antara Rm60-120 sahaja.

7. Kerusi lipat.

Apabila duduk berjam jam beriktikaf dimasjid tentunya akan lengoh seluruh badan. Saya perhatikan ramai menggunakan kerusi lipat yang disediakan didalam masjid tetapi ianya tidak mencukupi. 

Kerusi lipat berbagai jenis ada dijual di supermarket Ben Dawood atau kedai kedai kecil dengan harga SR25 hingga SR100.

8. Penantian di Jeddah Airport.

Menunggu adalah perkara biasa kerana ribuan jemaah datang sekali gus semasa bulan Ramadan. 

Jika bernasib baik, hanya perlu menunggu 2 jam untuk melepasi imigresen dan ada yang menunggu 4 jam bergantung kepada banyaknya pendaratan kapal terbang yang membawa jemaah dari berbagai negara.

9. Scam di masjid.

Dalam masjidil haram dan masjid Nabi ramai yang sasarkan orang Malaysia dengan meminta sedekah atau menceritakan cerita sedih mengaut simpati dengan tujuan meminta wang.

Ada yang bercerita kehilangan wang dan meminta belas ehsan untuk membeli tiket kapalterbang. Ada yang mengatakan kereta rosak dan memerlukan banyak wang untuk pembaikan.

Professional scammer ini semua sasarkan jemaah dari Malaysia kerana orang kita kebanyakan nya baik hati dan pemurah. Jarang mereka meminta dari jemaah Indonesia yang sangat berhati hati dengan wang mereka.

Kalau ada sesiapa datang dan bersalaman serta bertanya soalan ‘Can you speak english’, maka berhati-hati lah kerana kemungkinan besar dia saorang professional conman yang beroperasi di masjidil haram dan masjid nabi.

Pada hemat saya, ‘be street smart’ dan nilaikan rayuan mereka ‘case to case basis’.

Kalau mereka tersangat susah dan memerlukan wang yang banyak untuk pulang kenegara asal tentunya ada pusat zakat di Mekah dan Madinah yang boleh membantu golongan asnaf musafir ini.

Makanan memang tidak menjadi masalah di tanah haram kerana sentiasa ada dermawan yang memberi makanan sabil setiap petang kepada gelandangan.

10. Kadar kadar upah servis.

a. Kadar upah menolak jemaah dengan wheelchair untuk tawaf SR500 (harga rasmi).

b. Kadar upah menolak jemaah dengan wheelchair untuk saei SR100 (harga rasmi).

c. Kadar upah membawa jemaah mencium Hajarat Aswad SR250-SR1000 (selalu nya pelajar Indonesia yang mengambil upah dan kos boleh ditawar)

d. Kadar upah menolak jemaah dengan wheelchair ke hotel di Ajyad dari King Fadh gate SR100.

e. Kadar teksi ke Tanaim adalah SR70-100 walaupun dgn meter hanya SR25 sahaja kerana biasa pemandu taxi akan overcharge tanpa kiraan meter. Pada 10 malam terakhir ramadan ada pemandu teksi yang caj SR400 untuk ke Tanaim dan balik.
Pekerja caterer Indonesia selalunya ada senarai kawan kawan mereka yang mengambil upah untuk menolak wheelchair jemaah dengan kadar yang lebih murah. 

Mereka akan mengenakan pakaian umrah untuk kelihatan saperti ahli keluarga, kerana ahli keluarga sahaja dibenarkan menolak jemaah dengan wheelchair semasa tawaf dan saei.

11. Umrah di bulan Ramadan.

Kebiasaan umrah dilakukan selepas solat terawih pada jam 11:30pm dan berakhir pada 4am sebelum suboh. 

Sekarang ini stesen bas ke Tanaim jauhnya 1.5 km dari pintu King Fahd dan kebanyakan jemaah menaiki taxi di Ajyad bersebelahan King Abd Aziz road.

12. Ruang kosong di masjid

Ruang berdekatan semua pintu utama memang sesak dengan jemaah beriktikaf dan bersolat. 

Apa yang saya perhatikan masih ada ruang kosong di kawasan penempatan jenazah dan kawasan antara Safa dan Marwah.

13. Hari Raya di Mekah.

Sejam sebelum waktu suboh semua pintu utama masjid ditutup. Jemaah boleh mencari pintu kecil sepanjang laluan Safa-Marwah dengan berpusing dijalan tepian istana raja.

Pada masa solat Eidil Fitri semua penduduk Mekah akan berduyun ke masjidil haram dan jumlah jemaah boleh mencecah sehingga 5 juta orang. 

Jemaah yang tidak sempat ke masjid boleh bersolat dijalan raya yang selalunya penuh sepanjang 1 km disekitar masjid.

14. Kekuatan mental.

Kita orang Malaysia memang tidak biasa dengan suasana bersesak sesak dengan ramai manusia. 

Jemaah dari negara dunia ketiga juga agak kasar dan kadang kala jemaah Malaysia saperti di buli. 

Minda kena kuat dan perlu banyak kesabaran bila melaksanakan umrah dan berpuasa sebulan Ramadan di Mekah untuk menghadapi semua kepayahan ini. 

Anggap lah semua sebagai sebahagian dari dugaan untuk mencapai keindahan beribadah di masjidil haram pada bulan Ramadan.

Semoga tip ini sedikit sebanyak dapat memberi pedoman dan ‘what to expect’ semasa mengerjakan umrah dan berpuasa sebulan Ramadan di Mekah.

Wallahuallam.

Catatan oleh:
Ir Haji Zainuddin Bin Haji Omar
Mekah
27 jun 2017 bersamaan 3 syawal 1438H.


No comments:

Post a Comment

Kejatuhan Maharaja Byzantine Constantipole di Tangan Al-Fateh

Kejatuhan kubu Constantinople dari kacamata seorang pengembara - Bahagian 2.  Sultan Muhammad Al Fateh walaupun berumor 21 tahun...