Thursday, April 23, 2020

Kinabalu--Batu Raksasa

Gunung Kinabalu ini bagaikan batu raksasa berbentuk hampir empat segi sempurna, yang tersembul dari balutan awan. 

Dia menjulang seperti primadona kerana rupanya yang istimewa gara-gara puncaknya yang bertatahkan batu batan pejal.

Kita boleh menatap gunung ini dari jauh, namun untuk menyentuhnya mestilah menyiapkan sehabis kudrat untuk mendaki puncaknya setinggi 4095 meter dari paras laut dengan panjang trek naik turun sejauh 30 kilometer.

Disebabkan ia titik tertinggi Asia Tenggara, pendaki seluruh dunia datang dengan satu niat – ingin menakluki puncaknya yang sentiasa diselubungi awan itu. 

Pergunungan ini sudah dikerumuni puluhan ribu manusia, terbuka kepada semua dan ia adalah ladang bisnes.

Di pintu masuk yang terletak di Kinabalu Park, kaki saya memulakan langkah dengan perlahan. Saya menarik nafas dan mata menerawang ke segenap penjuru yang dipenuhi flora dan fauna. Kaki gunung ini terletak di tengah rimba yang tebal.

Untuk mendaki gunung ini tidak memerlukan peralatan khusus. Hanya stamina, keazaman dan keupayaan tubuh bertahan dan menyerap oksigen di altitud tinggi, itu sahaja yang diperlukan. 

Tidak ada gaung dalam yang perlu direntasi, tidak ada sungai deras yang perlu diseberangi, tidak perlu menyabung nyawa untuk sampai ke puncak

Dengan ditemani seorang malim gunung, saya berbekalkan bag galas tiga kilogram yang isinya tidak lebih dari air minuman, sedikit makanan, buku tulis plus kamera dan tongkat trekking.

Para pendaki berjalan berbondong-bondong dalam kumpulan kecil. Setiap kumpulan disertai seorang malim gunung yang wajib digunakan perkhidmatan mereka.

Dalam perjalanan kami bertemu para malim gunung lain yang membawa beban di belakang badan, mengikat tali di dahi, termengah-mengah mendaki dengan membawa bebanan berat.

Mereka membawa makanan untuk hidangan para pendaki. Segala keperluan bermula beras, ayam, roti, mee segera, meehon, sos chili, tong gas semuanya harus diangkut dari bawah.

Dengan ini para pendaki tidak perlu berberat-berat membawa makanan sendiri. Semuanya dibawa naik oleh malim gunung demi memenuhi keperluan para pendaki.

Trek pergunungan ini sunyi. Desiran angin, hembusan dan tarikan nafas, ciapan burung terdengar jelas.

Urat-urat saya seperti ditarik apabila sampai di tempat istirehat pertama 1000 meter dari paras laut. Beg diletak atas pangkin, botol air dikeluarkan.

Malim gunung tenang memerhatikan kami seolah keletihan langsung tidak memberi kesan kepada mereka. Mereka membawa hampir semua beban keduniaan, backpack yang berpintal-pintal milik para pendaki yang diletakkan di atas bahu mereka.

Setelah pendakian 3000 meter, perjalanan mula bertukar rentak. Bukan lagi rasa kagum di tengah buaian panorama alam semulajadi, bahkan bertukar menjadi deraan beban.

Nafas semakin lama semakin pendek. Setiap satu helaan nafas dirasakan begitu berharga. Jantung berdegup begitu cepat. Kaki tidak kuat lagi menongkat tanah. 

Tatkala saya mendongak, masih kelihatan ratusan anak tangga natural yang mengular dari bawah sampai ke puncak.

Seluruh pendakian adalah menaiki tangga curam. Kami berhenti dengan mulut ternganga. Kepala menunduk, sehingga terlihat batu-batu di bawah kasut. Titik puncak nun di atas sana yang dekat di mata tapi jauh di kaki.

Sebaik tiba di Laban Rata, puncak gunung terlihat begitu dekat.Tetapi tubuh badan sudah tidak kuat.

Di sini terdapat penginapan untuk para pendaki berehat sebelum meneruskan pendakian. Ia adalah titik berhenti perjalanan ini. 

Pendaki harus berehat satu malam sebelum meneruskan pendakian seawal jam 2.00 pagi keesokannya.

High camp ini semata-mata dibangun demi kemudahan pendaki, untuk mendekatkan jarak pendakian ke puncak, mengurangi perjuangan panjang menuju titik puncak. 

Buat pendaki, hari berikutnya adalah momen penting, pencapaian sekali seumur hidup.

Di sini yang ada hanyalah batu, awan, langit biru, keindahan alam yang paling alamiah, kesunyian, kawasan yang maha luas. Indah.

Hati ini bertanya, sampai mana limit kekuatan saya yang tersisa untuk mencapai puncak? Apakah perjuangan mendaki gunung hanya setakat ini sahaja?

Langit biru cerah berganti dengan awan kelabu. Angin dari puncak Kinabalu menderu-deru. Saya seperti berada di tengah badan raksasa. Siapa tahu raksasa ini tiba-tiba bergerak dan menerkam ke arah kami.

Ini adalah langkah kecil saya untuk menakluki puncak yang menjadi idaman kebanyakan manusia. Kenangan mendaki Kinabalu adalah sesuatu yang tidak dapat dilupakan.

Kinabalu bukan sekadar gunung biasa. Ia ibarat sebuah batu ujian raksasa. Penaklukan gunung adalah pembuktian keberanian, keteguhan dan kemenangan.

Yamin Ismail

Catatan mendaki Kinabalu beberapa tahun lalu

No comments:

Post a Comment

Kejatuhan Maharaja Byzantine Constantipole di Tangan Al-Fateh

Kejatuhan kubu Constantinople dari kacamata seorang pengembara - Bahagian 2.  Sultan Muhammad Al Fateh walaupun berumor 21 tahun...