Saturday, April 18, 2020

Pasir Berbentuk Bintang.


PASIR ANEH BERBENTUK BINTANG

Pernah tak korang lihat pasir yang berbentuk bintang?

Pulau Iriomote terletak dalam wilayah Okinawa di Jepun mungkin sama seperti pulau peranginan lain di dunia. Tapi ada satu kelainan pulau ini yang menakjubkan iaitu hamparan pasirnya. Dataran pantai ini luar biasa kerana pasirnya berbentuk bintang.

Dalam bahasa Jepun, pasir bintang ini dipanggil ‘hoshizuna’. Dianggarkan, kira-kira 30 peratus hingga 50 peratus daripada jumlah keseluruhan batuan kecil di pulau berkenaan adalah hamparan pasir berupa bintang. 
Selain pulau Iriomote, pemandangan unik ini juga boleh dilihat di beberapa gugusan pulau berdekatan wilayah Okinawa. Daya penarik ini membuatkan masyarakat tempatan memanggil kawasan peranginan tersebut dengan nama ‘pantai hoshizuna’ atau ‘pantai pasir bintang’. 

Bagaimana pasir di situ berbentuk bintang? 

Pasir lazimnya berupa timbunan batuan kecil berwarna coklat. Terdiri daripada sisa-sisa ledakan gunung berapi, buangan struktur binaan dan organisma mati. Tetapi pasir bintang di Jepun ini memiliki cerita berlainan.

Pasir bintang atau Hoshizuna bukanlah batuan halus seperti kelaziman yang wujud di tepian pantai. Walaupun sekali pandang ia menyerupai pasir, tapi ia sebenarnya merupakan mikro organisma berupa cangkerang yang pernah tinggal di lantai laut. 

Dalam bahasa saintifik, ia disebut sebagai ‘baclogypsina sphaerulata’. Makhluk laut ini adalah dari kumpulan foraminifera atau foram. Hidup dalam air laut dan menjadi sumber makanan ikan. Kerana bentuknya berupa bintang dan bersaiz sangat halus, kerang ini turut diberi jolokan sebagai bayi tapak sulaiman.
 
Bagaimana hidupan tersebut boleh menjadi pasir? 

Selalunya kerang mikro seperti itu terhasil disebabkan oleh kalsium karbonat. Kawasan laut yang tinggi kandungan kalsium karbonat, berpotensi membiak banyak kerang kenit seumpama itu.  

Apabila foram mati, cangkerang atau bahagian kulit luarnya yang keras berbentuk bintang akan  tertanggal, lalu jatuh dan mendap di dasar laut. Waktu terbaik melihat terumbu comel ini terkuak keluar dari bawah permukaan laut adalah selepas kejadian angin ribut. 

Dorongan ombak dan arus laut yang kuat akan membawa timbunan bintang kecil tersebut lalu terdampar ke tepian pantai. Lama-kelamaan, batuan pasir asal ditutupi oleh longgokan foram sehingga kehadiran protozoa itu terlihat seperti pasir pantai.

Meskipun kenit, itu cuma pada saiznya. Tapi jika diukur pada usianya, foram adalah antara tinggalan jasad haiwan zaman purba yang tertua di dunia. Terdapat bukti menunjukkan fosil foram berusia 550 juta tahun. 

Penemuan bukti molekul pula mendapati kerang tersebut berusia antara 800 juta hingga 1.2 billion tahun. Ini meletakkan foram sebagai antara ole-ole dari khazanah alam yang tidak ternilai harganya.

No comments:

Post a Comment

Kejatuhan Maharaja Byzantine Constantipole di Tangan Al-Fateh

Kejatuhan kubu Constantinople dari kacamata seorang pengembara - Bahagian 2.  Sultan Muhammad Al Fateh walaupun berumor 21 tahun...