Monday, December 30, 2019

8 Tips supaya tak sesat di Masjidil Haram.

8 Tips supaya tak sesat di Masjidil Haram. Share!

Selalu kita dengar kisah jemaah yang tersesat jalan, sama ada di Makkah mahupun di Madinah. Biasanya terjadi kepada jemaah yang baru pertama kali ke tanah suci.

Saya sendiri dalam sebulan ni berapa kali bertembung dengan warga emas yang tidak dapat mencari jalan balik ke hotel penginapan apabila terpisah daripada kumpulan. 

Tambah pula jemaah musim cuti sekolah yang terlalu ramai, bergerak dalam berbagai arah, di tambah dengan kawasan masjid yang terlalu luas dan bilangan pintu yang banyak menyebabkan jemaah hilang punca nak cari arah lokasi hotel.

Untuk mengelak perkara di atas berlaku, saya bagi petua dan tips kepada para jemaah, mana yang boleh pakai ambil. Share kepada orang tua kita, kawan-kawan yang nak pergi umrah.

1. WAJIB ingat nama hotel, nombor bilik dan simpan nombor telefon mutawif atau petugas masing-masing supaya senang dihantar oleh kami yang terserempak atau jemaah lain (sekiranya bertemu) ke hotel penginapan. 

Pernah terjadi pada saya sendiri, bila saya bertanya kepada seorang jemaah wanita yang tersesat, apa nama hotel di Makkah? 

Jawapannya ialah, "Tak tahulah makcik, tapi makcik tinggal di tingkat lima". Bayangkan ada berapa banyak hotel di Makkah mempunyai bilik-bilik penginapan di tingkat 5!

2. Sentiasalah PAKAI KAD NAMA yang dibekalkan oleh TA. Pada kad tersebut tercatat nama, alamat hotel dan nombor perhubungan yang lengkap. Janganlah berdegil dan sombong tak bertempat. Kadang benda remeh itulah yang nak selamatkan mak ayah kita yang sesat.

3. Semasa MASUK ke Masjidil Haram, ingat nama dan nombor pintu masuk, contoh: Pintu King Abdul Aziz (pintu nombor 1). Bab al-Marwah, Bab al-Umrah, Bab al-Fatah, pintu no. 86 dan sebagainya. Jadi semasa balik, carilah pintu-pintu tersebut dan buat temu janji dengan kawan-kawan, jika terpisah bertemu di depan pintu-pintu tersebut.

4. Di dalam Masjidil Haram, tentukan tempat MEETING POINT - tempat bertemu/berjumpa yang mudah dicari. Contohnya depan pintu masuk menara zamzam. Ada farmasi Nahdi. 

Lagi canggih bolej ambil gambar dan hantar kat whatsapp group. Ada teknologi gunalah. Itulah fungsi telefon. Jangan zalim dan malu bertanya.

5. Ingat bangunan-bangunan yang unik, masjid, shopping kompleks, terutama bangunan-bangunan di persimpangan jalan, untuk dijadikan "land mark". Contoh, ketika datang tadi saya lalu Ais Krim Asmah. Atau, ketika saya datang tadi melalui istana raja.

6. Bawa telefon bimbit dan simpan nombor telefon rakan sebilik, nombor telefon pegawai bertugas. Jika tersesat, hubungi mereka untuk panduan jalan pulang ke hotel. Lagi bijak kalau pinkan dalam Waze atau Google map nama hotel.

Sebab itulah Rarecation buat hotel 50 meter saja depan Masjid. Supaya jemaah tak payah nak jalan jauh-jauh, tersesat kat lorong dan bangunan yang luar kawasan.

Sesat dalam kedai bawah hotel Safwah tu lain cerita. Itu sesat masa tawaf 'kiday' namanya. Kalau hilang suami tak cari. 

7. Pergi ke mana-mana biarlah berdua atau berkumpulan. Janganlah biarkan mak ayah kita berjalan seorang diri walaupun ke Masjid. Manfaatkan group whatsapp yang dibuka oleh TA untuk memudahkan urusan mutawif mengetahui pergerakan jemaah.

Belajarlah melapor, minta izin dan kirimkan pemakluman setiap kali kita pergi ke mana-mana. Itu lebih baik dari kita tiba-tiba hilang dari radar.

7. Elakkan perasaan TAKABBUR walau sebesar zarah sekalipun di dalam hati dan sentiasa beristighfar mohon Allah swt memudahkan perjalanan umrah dan haji kita.

Siapa pun kita, kalau Allah nak uji tak ada yang dapat halangNya dari menjadikan pengalaman hilang di Tanah Haram itu satu peringatan dan pelajaran untuk kita.

Siapa ada tips berguna boleh tambah lagi di ruang komen. Mana tahu dapat jadi panduan buat kawan-kawan kita yang tengah cari tips nak pergi umrah nanti.

Selalu saya cakap dan pesan pada jemaah,

Sekecil-kecil ujian adalah hilang selipar.
Sebesar-besar dugaan adalah hilang orang.

Hilang selipar di Masjid tu cabaran di Tanah Suci. Di Tanah Air pula benda paling seram bila orang hilang dari masjid lepas balik dari Tanah Haram. Tinggal imam dan sekerat makmum.

Semoga bermanfaat.

Shauqi Hasan
Mutawif Rare, Makkah.

#share
#tipsoranghilang

No comments:

Post a Comment

Kejatuhan Maharaja Byzantine Constantipole di Tangan Al-Fateh

Kejatuhan kubu Constantinople dari kacamata seorang pengembara - Bahagian 2.  Sultan Muhammad Al Fateh walaupun berumor 21 tahun...